Lebih 100 rakyat Malaysia ditangkap di Indonesia kerana menyeludup dadah bagi tempoh 2009 hingga sekarang, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim.
  
"Tahun lepas mencatatkan tangkapan tertinggi, namun tahun ini jumlah tangkapan setakat ini adalah kecil iaitu kurang dari 10 orang," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan mesra di Pasar Seni di ibunegara hari ini.
  
Beliau ditanya mengenai perkara yang dibincang pada pertemuannya dengan bahagian narkotik Polis Indonesia baru-baru ini.
  
Katanya mereka yang ditangkap bukan sahaja menyeludup masuk dadah dari Malaysia tetapi juga dari negara lain.
  
"Kita juga membincangkan mengenai rakyat Indonesia yang ditangkap di negara ini kerana kes yang sama," katanya.- Bernama