KUALA SELANGOR : Rakyat di Selangor kini berpeluang menikmati hasil kekayaan dan pembangunan negeri secara lebih menyeluruh di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat (PR), berbanding Kerajaan Umno-BN terdahulu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurutnya, semasa zaman pemerintahan bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo, hanya RM150 juta daripada hasil negeri diagihkan kepada rakyat Selangor.
Sebaliknya, di bawah pimpinan PR, lebih RM600 juta diperuntukkan sejak 2008 untuk manfaat rakyat di negeri ini menerusi pelbagai program dan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
“Semasa zaman Khir Toyo tak sampai RM150 juta diagihkan kepada rakyat. Mengapa rakyat tidak merasa pembangunan sebab ada orang tengah yang ambil kesempatan. Ini tidak seharusnya berlaku.
“Saya buat kerja betul-betul dan tidak akan mengambil duit rakyat. Saya jaga kesemua hasil negeri supaya ia sampai ke tangan rakyat Selangor. Tiada agen yang uruskan perkara ini,” katanya semasa menghadiri Majlis Makan Malam di Hotel De’Palma, di sini malam tadi.
Majlis turut disertai pimpinan daerah Kuala Selangor, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Kampung dan AJK Parti PR.
Tambahnya, Kerajaan PR juga berjaya meningkatkan hasil pendapatan negeri ke tahap yang lebih tinggi selain dapat mengutip kembali hutang melebihi RM390 juta.
Malah katanya, sokongan padu terhadap PR membuktikan bahawa rakyat semakin selesa menerima perubahan dan mula menolak politik kotor Umno-BN.
“Rakyat sejak 2008 mahukan pembaharuan. Angan-angan tidak akan menjadi hasil kalau tidak tekun usahanya. Saya sangat bangga melihat usaha Kerajaan PR sehingga pelaburan juga meningkat,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan