Selasa, 18 September 2012

Pusat khidmat GERAKAN pula jadi sasaran

 
Susan Loone


 
Pusat khidmat parti GERAKAN Pulau Pinang di Pulau Tikus diserang oleh penyerang yang tidak dikenali awal pagi ini.

Penyerang tersebut melemparkan kopi dan telur di pusat khidmat yang dikendalikan oleh ketua GERAKAN Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan.

Tiga hari sebelum kejadian, ibu pejabat DAP Pulau Pinang dan tiga pusat khidmat parti disimbah dengan cat merah.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Teng yang berang dengan perbuatan tersebut berkata, serangan berkenaan bermotifkan politik.

Walaupun serangan tersebut dilihat satu perkara kecil, Teng berkata makna dan mesej di sebalik perbuatan itu adalah sangat buruk.

Teng yang merupakan bekas ADUN Pulau Tikus berkata, beliau meminta agar kedua-dua parti politik dapat mengawal penyokong dan ahli mereka.

Beliau menambah, pemimpin masing-masing perlu bertanggungjawab untuk menasihati ahli dan penyokong mereka dari melakukan perbuatan tersebut.

"Parti-parti politik dari kedua belah pihak mesti melakukan siasatan mereka sendiri untuk lihat dari mana perbuatan ini datang.

"Jangan salahkan polis kerana tidak banyak yang boleh mereka lakukan. Untuk membendung perkara ini, tanggungjawab itu terletak di tangan parti-parti politik," kata Teng.

Teng berkata lagi, perbuatan yang menjatuhkan maruah ini juga akan mencemarkan profesyen politik.

Tiada ulasan: