Saman itu merujuk kepada kolum mingguan
'Langit Terbuka' yang ditulis Dr Mashitah Ibrahim bertajuk 'Skandal
seks, krisis politik Pakatan'.
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim kerana mengaibkannya dalam akhbar Sinar Harian Mac lalu.
Saman itu merujuk kepada kolum mingguan ‘Langit Terbuka’ yang ditulis Mashitah bertajuk ‘Skandal seks, krisis politik Pakatan’ dan disiarkan pada Mac lalu.
Kes saman difailkan melalui Tetuan Mazwan dan Nasar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi itu menamakan Mashitah sebagai defendan pertama, manakala penerbit Sinar Karangkraf Sdn Bhd sebagai defendan kedua dan pencetak Ultimate Print Sdn Bhd sebagai defendan ketiga.
Wakil peguam Nasar Khan berkata, Mashitah dalam artikelnya secara terangan merujuk kepada Hadi dan sengaja mahu menjatuhkan maruah Ahli Parlimen Marang itu.
“Kata-kata yang digambarkan sedemikian tidak boleh diterima dan menjatuhkan maruah.
“Pihak kami sebelum ini telah dah hantar surat kepada Mashitah supaya dia mohon maaf dan tarik balik kata-katanya namun tiada respon,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah di sini.
Selain Nasar, Hadi turut diwakili peguam Mazwan Johar.
Sementara itu dalam kes yang berlainan, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud turut memfailkan saman fitnah terhadap pengguna laman sosial Facebook yang menuduhnya menghina Raja-Raja Melayu semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara 11April lalu.
Siti Mariah melalui Tetuan Abdul Aziz dan Yazmin memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mahu membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut.
“Saya telah memfailkan saman bagi membersihkan nama atas tuduhan biadap mempersendakan raja-raja melayu semasa pertabalan agong ke-14,” katanya yang diwakili peguam Abdul Aziz Hamzah.
Pengguna Facebook yang menggunakan akaun nama Dr Rahman Kadir mendakwa, beliau yang ketika itu menjadi salah seorang pasukan pegawai perubatan melihat Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Siti Mariah membuat bising dan mengetawakan beberapa pemimpin negara termasuk Raja-Raja Melayu.
Namun ketiga-tiga pemimpin terbabit menafikannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan