SAYA telah diaju pelbagai soalan oleh media berkait sikap Pemuda Pas terhadap pelawaan Pemuda Umno dalam isu Himpunan Membantah Penghinaan Ke atas Rasul SAW.
Suka saya tegaskan bahawa perkara ini bukanlah isu sebenar. Sebaliknya apa yang jadi isu ialah penghinaan ke atas Nabi SAW. Adapun siapa nak bantah filem Hina Nabi itu, turunlah ke Kedutaan Amerika Syarikat Jumaat ini. Habis cerita.
Bantahan ini tanggungjawab setiap individu Muslim untuk nyatakan sikap terhadap penghinaan ke atas Nabi mereka. Lucunya, kenduri belum lagi bermula, dah ada yang nak berebut meja makan. Tunggulah hari kenduri kemudian datang dan ambillah mana-mana kerusi dan meja kosong. Apa yang nak bising-bising? Nak cari publisiti murah?
Kami Pemuda Pas sedari awal, sejak 12 September lalu telah memutuskan dua program utama dalam menangani isu ini:
- Himpunan Munajat dan bantah penghinaan ke atas Nabi SAW di seluruh masjid negeri masing-masing pada Jumaat, 14 September selepas solat Jumaat (ia telah berlangsung dengan baik, aman dan jayanya termasuk di Sabah dan Sarawak).
- Xpresi Hijau Kasih Nabi SAW dan bantah penghinaan ke atas Nabi SAW di Kedutaan AS pada Jumaat, 21 September ini. Solat Jumaat di Masjid Tabung Haji.
Semua warga perihatin dijemput hadir.
Kami telah umumkan kepada media dua program itu sejak Rabu lalu. Jadi, polemiknya?
Tiba-tiba Isnin lepas, saya dimaklumkan bahawa Pemuda Umno ada mengajak Pemuda Pas untuk turun demo sekali.
Itupun saya hanya tahu melalui media. Terima kasihlah jemput kami.
Kalau tiada jemputan pun, kami memang akan turun pada 21 September kerana kami terlebih awal telah di"jemput" oleh Nabi kami untuk turun menunjuk sikap dan mempertahankan kemuliaan Nabi kami. Yang dihina sedemikian rupa oleh musuh-musuh Islam. Kalau 17 September baru nak jemput kami, memang terlalu lambatlah sebab kami dah 'setup' segalanya lebih awal.
Saya pun hairan kenapa isu ini dipolemikkan sehingga mengalih pandangan umum daripada isu sebenar atau mereka sengaja mahu mencari 'political mileage' dan nak tunjuk hero kepada masyarakat? Kalau nak demo turun sajalah, tidak perlu buat bising. Apakah mereka bergantung kepada keputusan Pemuda Pas baru nak turun demo? Ini bukan isu politik antara parti Umno dan Pas, ini isu penghinaan ke atas Nabi SAW. Maka usahlah polemikkan perkara ini semata-mata nak buktikan kamilah hero! Orang kampung semua sudah kenal. Siapa yang serius mahu pertahankan Islam dan kesuciannya dan siapa pula yang hanya mahu mencari 'political mileage' dan menggunakan media untuk memposisikan diri.
Kami Pemuda konsisten dalam membentuk sikap terhadap isu-isu sebegini. Tindakan membantah penghinaan ke atas Nabi SAW adalah kewajipan paling minimum yang mesti dilakukan. Justeru, ia bukanlah perbuatan yang sia-sia malah menjadi satu amal yang dikurniakan pahala oleh ALLAH SWT.
Saya sekali lagi menyeru seluruh warga prihatin sama ada Muslim mahu pun bukan Muslim, agar menyertai Himpunan Aman membantah provokasi jahat pihak tertentu dengan menghina Islam dan Nabinya SAW di hadapan Kedutaan AS pada Jumaat ini.
Fokus pada isu sebenar. Hadir pada 21 September ini. Solat Jumaat di Masjid Tabung Haji. Sejurus selesai solat, kita berarak ke Kedutaan AS. Saya tidak mempunyai cukup masa untuk melayan kerenah orang yang nak berebut meja makan sebelum masa kenduri. Nak datang, datanglah... kenapa perlu buat bising dan cipta polemik? Jumpa anda di sana.
Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda Pas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan