Ahad, 30 September 2012

Pemuda Gerakan mahu boikot, Koh gesa 'Satu Hati'

Nigel Aw


 
Presiden GerakanTan Sri Koh Tsu Koon merayu kepada setiap lapisan parti itu supaya bersatu bagi memecahkan rekod kekalahannya di Pulau Pinang dalam pilihan raya lalu.

Katanya, Pulau Pinang sentiasa berada di hati Gerakan dan berterima kasih kerana berpeluang untuk berkhidmat di negeri itu.

Sekiranya anggota parti itu "satu hati", rakyat akan memberi peluang untuk menebus kekalahan itu, kata Koh kepada para perwakilan di persidangan perwakilan nasional parti itu di Kuala Lumpur pagi ini.

Kempen "Satu Hati" itu dinyatakannya sehari selepas sayap pemudanya mengumumkan untuk tidak akan menghantar perwakilan ke sesi perbahasan pada persidangan perwakilan nasional parti itu hari ini.

Pemuda Gerakan berbuat demikian sebagai tanda bantahan terhadap badan induk parti itu yang sebelum ini dilihat telah meminggirkan pergerakan itu, kata Ketuanya Datuk Lim Si Pin.

Ucapan Koh hari ini juga sebagai reaksinya kepada kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Mac lalu yang yakin bahawa Pakatan Rakyat mampu mengekalkan negeri itu dan BN akan "makan telur".

Gerakan membentuk kerajaan selama hampir 39 tahun namun tewas di semua kerusi yang ditandinngi di negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

Dalam ucapannya hari ini, Koh turut menyelar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan mengaitkan kempen kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (CAT) kerajaan negeri dengan "berlagak, angkuh dan tokong" (cocky, arrogant and tokong).

"Itulah dia CAT)", katanya yang berkata, inilah peluang untuk Gerakan melancarkan menyerang balas.

Katanya, banyak isu mengenai Pakatan Rakyat yang sudah didedahkan di Pulau Pinang sepanjang empat setengah tahun lalu.

Tambahnya, parti itu juga akan berusaha untuk merampas semula Kedah, Selangor dan Kelantan, selain mempertahankan Perak, Johor dan Sabah yang diserang Pakatan Rakyat.

"Kita akan serang dan pertahan," katanya.

Tiada ulasan: