Ahad, 16 September 2012

Najib telah tinggalkan falsafah 1Malaysia – Guan Eng

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: DAP hari ini menyifatkan kenyataan bahawa PRU ke 13 sebagai penentu survival masyarakat Melayu sebagai menghasut dan berbaur perkauman dan  menggesa Perdana Menteri Najib Razak menarik balik kenyataannya itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata demikian dalam kenyataan medianya hari ini dan menyatakan pendirian bahawa pilihanraya akan datang sewajarnya menjadi wadah persaingan ide dan dasar demi manfaat rakyat menuju ekonomi berpendapatan tinggi dan bukan hanya disempitkan menjadi wadah politik perkauman.

“DAP amat kecewa dengan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak yang mengambil pendirian pelampau Perkasa dengan pengisytiharannya kepada ahli-ahli UMNO Pekan bahawa PRU Ke-13 bukan sekadar pilihan raya biasa tetapi akan menentukan survival masyarakat Melayu,” katan beliau sambil menyebut bahawa Najib telah menolak politik kesederhanaan dan inklusif serta meninggalkan falsafah 1Malaysia yang beliau canangkan.

“Ia bukan hanya sekadar survival masyarakat Melayu atau survival masyarakat bukan Melayu secara eksklusif tetapi survival kesemua rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga mendakwa bahawa Najib turut mengulangi fitnah Perkasa bahawa DAP adalah anti-Melayu dengan mengatakan bahawa DAP tidak pernah suka menerima kedudukan Melayu dan orang Islam.

“Menjadikan perkauman dan agama sebagai asas kempen pilihan raya, rakyat Malaysia akan kehilangan peluang untuk berdebat tentang dasar dan idea yang dapat memajukan Malaysia,” kata  beliau lagi.

Guan Eng turut mengingatkan Perdana Menteri Najib Razak bahawa beliau adalah Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia dan bukan hanya satu masyarakat.

“Sekiranya UMNO berjaya dalam politik perkauman dan pelampaunya dan menimbulkan sengketa antara Melayu dan bukan Melayu, Islam dengan bukan Islam, maka negara akan menjadi lebih rapuh dan pecah belah pasca pilihan raya umum nanti,” tambah beliau lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: