Sabtu, 1 September 2012

MB Nafi Ketepikan Sultan, Ia Cuma Amalan Biasa





SHAH ALAM : Kerajaan Negeri menafikan laporan media pro Umno-BN, Utusan Malaysia yang menyatakan pentadbiran Selangor mengenepikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke -55 negara di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini malam tadi.

Sebaliknya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata memang menjadi amalan dan kebiasaan Sultan Selangor tidak dijemput bagi menghadiri majlis tersebut.

“Memang tiada dalam program menjemput Sultan. Memang biasa kita buat macam ini setiap tahun. Itu sahaja,” katanya kepada pihak media selepas menghadiri majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Kemerdekaan serta solat sunat Jumaat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid turut menyangkal dakwaan akan kemurkaan Sultan Selangor berhubung insiden itu sambil menjelaskan perkara tersebut tidak berlaku.

“Tidak ada…..tiada ada,” ujarnya.

Sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor malam tadi bertemakan Sebangsa, Senegara, Sejiwa itu dihadiri lebih 10,000 hadirin.

Sementara itu, majlis bacaan Yassin dan Tahlil sempena Hari Kemerdekaan serta solat sunat Jumaat di Masjid Negeri dianjurkan Kerajaan Negeri hari ini dihadiri ramai rakyat Selangor dari pelbagai lapisan masyarakat kerana Aidilfitri masih diraikan umat Islam.

Majlis tersebut turut dihadiri Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Husin; Pengarah Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Adun Negeri Selangor.

Tambahan pula hari ini adalah cuti umum sempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Hadirin tidak melepaskan peluang berbaris di sepanjang laluan dilalui Sultan Selangor untuk berjabat salam dengan Tuanku.

Ternyata majlis mesra ini mengeratkan silaturrahim antara Sultan Selangor dan barisan pembesar negeri bersama rakyat jelata.

Tiada ulasan: