Sabtu, 15 September 2012

Macam2 alasan SPR bantah p’raya berasingan

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cuba mencari bermacam-macam alasan untuk tidak menyokong pilihan raya berasingan antara Pusat dengan Selangor.

 SPR beralasan bahawa perbelanjaan akan meningkat sehingga RM50 juta jika pilihan raya umum diadakan berasingan.

Mengulas kenyataan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, SPR mempunyai berbagai-bagai alasan jika sesuatu perkara itu tidak berpihak kepadanya.

“Apabila dia rasa ia baik untuk Umno dan BN, dia sokong dan senyap, bila rasa susah untuk Umno dan BN, dia beri alasan,” katanya.

Walhal SPR tiada halangan untuk mengadakan pilihan raya berasingan itu.

Kelmarin, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mengambil ketetapan bersetuju agar Selangor mengadakan pilihan raya berasingan dengan Pusat.

“Semasa BN memutuskan ada pilihan raya berasingan di Kelantan pada tahun 1978, SPR tidak kata apa dan bersetuju.

“Ini kerana, ia kehendak Umno dan BN ketika itu. Tetapi apabila ia bukan kehendak Umno dan BN, SPR beri macam-macam alasan,” kata Mustafa, dipetik Harakah Daily.

BN telah menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) di Kelantan pada tahun 1978 dan mengadakan pilihan raya untuk DUN Kelantan saja pada bulan Mac 1978.

Selepas kerajaan Kelantan pimpinan PAS jatuh melalui pilihan raya itu, pilihan raya umum pula diadakan pada Julai 1978.

SPR sepatutnya tiada halangan jika Pakatan mahu mengadakan PRU 13 secara berasingan jika BN membubarkan Parlimen tahun ini atas alasan badan pengendali pilihan raya itu masih belum membersihkan daftar pemilih.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar beralasan, keputusan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan pilihan raya negeri berasingan daripada pilihan raya umum bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi, malah akan menjejaskan perjalanan kelas dan mengganggu tugas guru.

Katanya, ini berikutan lebih 80 peratus tenaga kerja yang digunakan untuk memastikan kelancaran pengundian adalah terdiri daripada guru sekolah.

Selain itu, tambah beliau, SPR juga terpaksa menggunakan semula sekolah untuk dijadikan pusat mengundi yang akan menganggu perjalanan kelas di sekolah tersebut.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam pula berkata, SPR tidak boleh menghalang kerana ia dibenarkan dan tertakluk dalam undang-undang.

“Undang-undang dalam pilihan raya sendiri benarkan buat PRU secara berasingan, tetapi jika mahu teruskan mereka hanya boleh buat dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) saja,” kata Abdul Aziz dipetik.

Beliau juga beralasan bahawa SPR tidak akan menghalang kerajaan Selangor kerana ia melibatkan DUN saja, tetapi tarikh rasmi PRU13 tetap berada di tangan SPR untuk menentukan.

Tiada ulasan: