Isnin, 24 September 2012

Ling tak sangka akan didakwa berhubung PKFZ

Haifz Yatim


 
Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak menyangka akan didakwa apabila polis merekodkan kenyataannya pada 1 April  2010 berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menjawab soalan  Timbalan Peguamcara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Ling berkata, beliau menyangka dia hanya membantu siasatan kes itu.

Ling memberitahu demikian ketika ditanya sama ada beliau masih ingat Supt R Rajagopal telah menunjukkan kepadanya minit Kementerian Pengangkutan bertarikh 25 Jan 2002 dan surat yang beliau hantar kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 Jun 2002.

Katanya, beliau tidak ingat telah melihat dokumen-dokumen tersebut apabila Rajagopal merekodkan kenyataannya.

Menurut Ling, beliau menyangka dia membantu (siasatan) kes tersebut dan tidak menyangka akan didakwa, dan beliau tidak ingat telah ditunjukkan dokumen-dokumen tersebut.

Dr Ling, 68, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
  
Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
  
Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 November 2002. [Baca berita penuh] 

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes Tun Dr Ling Liong Sik, hari ini mendakwa bekas Menteri Pengangkutan itu cuba mengelak daripada menjawab soalan.
   
Terdahulu, beliau menggesa Dr Ling supaya menjawab soalan dan bukannya memberi penjelasan berhubung perkara yang tidak berkaitan dengan kes itu.
   
Pada awalnya, Tun Abdul Majid menyoal balas tertuduh sama ada dia mengetahui atau tidak kadar faedah yang dilampirkan bersama surat bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) OC Phang.
   
Bagaimanapun, Dr Ling tidak menjawab soalan itu sebaliknya cuba membaca kembali kandungan surat tersebut dan menghuraikannya sehingga Tun Abdul Majid berkata "jangan cuba mengelak."
   
Dr Ling kemudian menyoal siapa yang Tun Abdul Majid maksudkan 'cuba mengelak' dan keadaan mula menjadi tegang dengan pelbagai pertikaian tercetus antara mereka sehingga Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi terpaksa meminta peguam Wong Kian Kheong menasihati anak guammya.

Prosiding dihentikan kira-kira 15 minit untuk membolehkan Wong berbuat demikian namun ketegangan antara tertuduh dan Tun Abdul Majid masih berlaku pada sesi selepas itu apabila Dr Ling mempersoalkan cara pendakwaan menyoalnya.
   
"Adalah menjadi tugas saya untuk menyoal kamu sebagai tertuduh, dan kamu boleh memberi penjelasan lanjut ketika pemeriksaan semula," kata Tun Abdul Majid.
   
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas, Dr Ling berkata dia beranggapan kadar faedah 7.5 peratus adalah mengikut kelulusan JPPH dan ia disediakan anggota jawatankuasa kementeriannya.
   
Tertuduh berkata dia tidak tahu lampiran yang dihantar kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penilaian tanah adalah tidak mengikut persetujuan JPPH.
   
Dr Ling juga berkata dia tidak ingat isi kandungan beberapa dokumen berkaitan pengambilan tanah di Pulau Indah dan surat berhubung projek PKFZ yang ditandatanganinya.

Perbicaraan disambung esok.

Tiada ulasan: