Isnin, 3 September 2012

Komited tingkat kualiti hidup rakyat biarpun difitnah-Lim Guan Eng

Roketkini.com

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

BUTTERWORTH : Biarpun sering difitnah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan rakyat akan meneruskan azam dan usaha menjadi sebuah kerajaan berjiwa rakyat berasaskan prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran dan kebajikan.

Demikian antara intipati ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2012 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Padang MPSP yang turut meraikan Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan juga Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff.

Dalam ucapannya kepada tetamu yang hadir, beliau mengulangi ikrar untuk komited berbakti kepada seluruh rakyat dengan meneruskan program-program kebajikan yang baru.

“Saya percaya bahawa rakyat kini telah bijak menilai mana yang benar dan mana yang tidak benar.” ujar beliau.

Antara program-program kebajikan tahunan yang dilaksanakan di Pulau Pinang ialah Program Penghargaan RM100 Warga Emas, Program Bantuan OKU, Program Penghargaan Ibu Tunggal, Program Pelajar Emas dan  RM200 untuk Program Anak Emas serta bantuan “One-Off” IPTA emas sebanyak RM1000 serta pengurusan jenazah sudah terkenal seluruh Malaysia dan sinonim dengan rakyat Pulau Pinang.

Katanya, “Di samping itu lebihan perbelanjaan digunakan untuk membaiki infrastruktur seperti jalan, longkang, taman-taman, lorong basikal dan menaiktaraf pasar serta memberikan bantuan kepada sekolah pelbagai aliran,”

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, kesemua program-program perubahan yang menaikkan kualiti hidup rakyat ini adalah hasil daripada dividen menentang rasuah.

“Pentadbiran yang bersih selama empat tahun ini membolehkan Kerajaan Negeri berusaha mengumpulkan RM500 juta untuk membina rumah mampu milik yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.”

Sebelum ini ujar Guan Eng Kerajaan Negeri menerusi PDC telah membina sebanyak 3421 unit rumah sepanjang 4 tahun yang lepas dan pihak swasta telah membina sebanyak 8175 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Sebanyak 18, 000 unit rumah mampu milik dirancang untuk dibina oleh Kerajaan Negeri menerusi PDC di seluruh Pulau Pinang. Ini termasuk di kesemua 5 daerah termasuk di kawasan pulau dengan 12, 000 unit rumah.”

Beliau turut menyatakan kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi menyelenggara rumah pangsa dalam melalui program YES! (HAPPY!).

“Ini  sekaligus menyangkal tuduhan Kerajaan Negeri tidak pernah membina rumah kos rendah dan sederhana rendah.”-Roketkini.com

Tiada ulasan: