Selasa, 25 September 2012

Ketua Pemuda Umno Gopeng ke mahkamah, dituduh miliki surat kuasa palsu

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM— Ketua Pemuda Umno Bahagian Gopeng, Mohd Arlizam Abdul Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memiliki dan menggunakan dokumen palsu iaitu sekeping surat kuasa bagi sebidang tanah di Kapar, Klang, lima tahun lepas.

Mohd Arlizam, 37, yang juga seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Dia didakwa memiliki dan menggunakan satu dokumen palsu iaitu ‘Power of Attorney’ bertarikh 21 Mei 2007 di antara penama Liew Woon Foh dan nama tertuduh sendiri bagi sebidang tanah milik Liew yang terletak di alamat GM 781, Lot 4337, Batu 3 3/4, Jalan Kapar.

Mohd Arlizam didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 21 Mei 2007.
Pertuduhan mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar Mohd Arlizam dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan pasportnya diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Kevin Arasu yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 atas alasan anak guamnya merupakan pesalah pertama dan menghidap sakit jantung sejak dua tahun lepas.

Arasu berkata Mohd Arlizam juga mempunyai enam tanggungan termasuk seorang anak berumur dua tahun dan menanggung kos perubatan kedua ibu bapanya.

Hakim Asmadi kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Tiada ulasan: