Sabtu, 22 September 2012

Kerajaan kaji semula Skim Rumah Pertamaku

SINAR HARIAN

SUBANG JAYA - Kerajaan kini sedang dalam proses mengkaji semula "Skim Rumah Pertamaku" pada tahun depan bagi golongan dewasa muda memiliki rumah pertama masing-masing dengan menjadikannya lebih menarik, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.
  
"Wujud isu-isu berkaitan tanah tetapi kita akan memuktamadkannya tidak lama lagi supaya skim itu boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web Kumpulan Syarikat Job Hunt.
  
Beliau enggan menjelaskan lebih lanjut semasa ditanya bila skim itu akan dilaksanakan sepenuhnya, kecuali menyatakan "Kami mempunyai satu jawatankuasa yang bertanggung jawab bagi tujuan itu. Kementerian kita akan membantu di segi pinjaman bank."
  
"Skim rumah Pertamaku" pertama kali diumumkan semasa pembentangan Bajet 2011 bagi membantu golongan dewasa muda yang baru sahaja menyertai pasaran pekerjaan dan mendapat pendapatan RM3,000 sebulan atau kurang bagi memiliki rumah pertama masing-masing.
  
Skim itu membolehkan golongan dewasa muda mendapatkan pembiayaan 100 peratus dari institusi kewangan, yang akan membolehkan mereka memiliki rumah pertama tanpa perlu membayar pendahuluan 10 peratus.
  
Beliau berkata kerajaan juga komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2010 kepada kurang daripada 3.0 peratus pada 2015.
  
"Kita berharap unjuran di dalam cadangan Bajet 2013 akan kurang daripada angka sekarang," katanya.  - Bernama

Tiada ulasan: