Selasa, 18 September 2012

'JAWI boleh rampas buku tanpa perintah pengharaman KDN'

 
Hafiz Yatim


 
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) boleh merampas buku-buku kontroversi mengenai Islam, walaupun tanpa Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku-buku seumpama itu.

Ini merupakan jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang difailkan terhadap permohonan semakan kehakiman yang dibuat kepada Mahkamah Tinggi oleh kedai buku Borders berhubung tindakan JAWI merampas buku tulisan pengarang Kanada, Irshad Manji (foto atas).

Ini, menurut kalangan pengamal undang-undang, bermakna JAWI boleh mengatasi kuasa menteri dalam negeri dan merampas sebarang buku tanpa arahan dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran kementerian tersebut.

Hishammuddin dalam afidavitnya itu menyatakan bahawa walaupun tiada perintah pengharamannya pada hari buku itu dirampas, JAWI mempunyai kuasa untuk berbuat demikian kerana buku itu melanggar Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 .

Katanya, rampasan tersebut boleh dilakukan oleh JAWI di bawah undang-undang berkenaan, tanpa sebarang perintah pengharaman daripada kementerian.

Menteri dalam negeri telah diarahkan menjawab permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Berjaya Books Sdn Bhd, yang mengendalikan kedai buku Borders, bersama-sama dengan pembantu pengurus besarnya, Stephen Fung dan pengurus kedai buku Borders di Gardens Mall, Nik Raina Nik Abdul Aziz.

NONENik Raina (kiri) didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada bulan Jun atas tuduhan mengedarkan buku kontroversi -  Allah, Kebebasan dan Cinta -  tulisan Manji.

Berjaya Books telah mencabar kes itu di Mahkamah Tinggi dan menamakan JAWI, kementerian dalam negeri, menteri yang menjaga hal-ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri, sebagai responden.

JAWI merampas buku tersebut dari kedai buku Borders di Gardens Mall pada 23 Mei, manakala kementerian dalam negeri hanya mengisytiharkan pengharamannya enam hari kemudian - pada 29 Mei.

Tiada ulasan: