Rabu, 19 September 2012

Isteri nafi suami tahanan ISA pemberi maklumat SB

 
Aidila Razak


 
Isteri kepada guru sekolah menengah Bakar Baba menafikan suaminya menjadi pemberi maklumat kepada polis Cawangan Khas (SB) sebelum ditahan November lalu bawah akta ISA.

Membetulkan laporan sebelum ini, Zahorna Abdul Razak berkata, kenyataan bahawa Bakar "bekerjasama" dengan polis Tawau merujuk kepada kehadirannya dalam program "pemulihan" yang dijalankan sejak ditahan kali pertama pada 2006.

"Dia hadir ke program itu dua kali, sekali pada 2008 dan kali kedua pada 2010, jika tak silap saya. Kali pertama di pejabat dan kali kedua di Hotel Marco Polo di Tawah, Sabah," katanya ketika dihubungi.

"Ia berjalan beberapa hari dan turut dihadiri oleh pihak lain yang ditahan sebelum itu atas dakawaan terlibat dalam kumpulan pengganas. Polis ada senarai itu," katanya.

Zahorna, setelah merujuk suaminya berkata, ketika polis memanggil Bakar dari masa ke semasa sejak 2006, suaminya bukan pemberi maklumat.

"Mereka panggil dia sesekali untuk menyemak keadaannya," katanya.

Bakar tidak pernah didakwa di mahkamah sejak ditahan pada 2006, tetapi diletakkan bawah pemerhatian polis.

November lalu beliau ditahan bawah ISA atas dakwaan terlibat dalam kumpulan Darul Islam - tuduhan yang dinafikannya.

Pada Jun beliau dipecat sebagai guru atas dakwaan melanggar Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dengan menentang Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.

Ketika penahannya kali kedua, menteri dalam negeri dipetik sebagai berkata oleh New Straits Times bahawa Bakar dan 12 orang yang ditahan merupakan orang paling berbahaya di rantau ini.

Tiga daripadanya ditahan pada 17 September. Pada masa ini, sebanyak 30 tahanan ISA masih ditahan bawah ISA.

Tiada ulasan: