KUALA LUMPUR: Sekiranya ada tawaran, Datuk Seri Idris Jala akan memilih untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk menjadi calon dan beliau juga tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik.
"Tidak, saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya. Saya bukan ahli politik. Sekiranya ada tawaran, saya akan menolaknya," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan Senator penggal kedua dihadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Isnin.
Idris berkata beliau menerima pelantikan semula jawatan Senator oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana merasakan masih banyak perlu dilakukan bagi membuktikan keberkesanan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
"Kejayaan GTP juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang bagus di mana pelaburan negara pada tahun lepas telah meningkat, pelaburan langsung asing (FDI) negara juga meningkat dengan kukuh dalam masa 10 tahun malah pendapatan negara turut meningkat kepada RM185 bilion.
"Ketika kita melancarkan fasa kedua GTP, respon yang diterima sangat positif. Saya yakin rakyat mahu kita teruskan. Jadi, ayuh teruskan. Sebab itu saya terima tawaran jawatan Senator untuk penggal kedua dan saya mahu teruskan usaha ini dalam kerajaan," katanya.
Ditanya apa yang akan dilakukannya sebaik sahaja tamat penggal kedua jawatan Senatornya, Jala berkata berkata beliau mahu berbakti kepada negara sama seperti 'orang awam yang lain'.
"Kita semua memainkan peranan dalam soal pembangunan negara tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Walau apa pun peranan kita, mereka tetap meyumbang kepada ekonomi negara antara satu sama lain, " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan