Isnin, 17 September 2012

Gadis badang cipta rekod baru

IZWAN ROZLIN

Devendiran bergantung di kren dengan menggunakan rambutnya.
Devendiran bergantung di kren dengan menggunakan rambutnya.
 
Gadis badang cipta rekod baru
Priya menarik van seberat 1.3 tan menggunakan rambut.
 
SUNGAI BULOH – Ketika berusia sembilan tahun, D Shanmuga Priya pernah melakar sejarah tersendiri dengan menarik van seberat 1.3 tan menggunakan rambut sejauh 57.7 meter.

Namun semalam, gadis yang kini berusia 20 tahun itu mengulangi kejayaan sekali lagi apabila berjaya menarik van berat yang sama tanpa henti sejauh 96.4 meter sekali gus memecahkan rekod dibuatnya sendiri 11 tahun lalu dan tercatat di dalam Malaysia Book Of Record.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka berjaya menarik van sejauh itu sedangkan sasaran awalnya hanya 70 meter.

“Apa yang saya buat ini adalah berdasarkan latihan menarik lori 1.2 tan setiap minggu selama sebulan selain mengamalkan makan hanya buah dan sayuran,” katanya.

Menurutnya, teknik pernafasan juga memainkan peranan penting bagi memastikan dia tidak cepat penat selain mengamalkan petua lain termasuk bersenam setiap hari.

Penuntut Kolej Segi itu berkata, kejayaannya turut didorong oleh keluarga terutama bapanya, G Devendiran, 56.

"Ini adalah hadiah untuk rakyat Malaysia sempena Hari Malaysia yang jatuh pada hari ini (semalam) dan selepas ini saya berhasrat untuk menarik sebuah kapal terbang pula," katanya.

Persembahan sempena Hari Malaysia anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Damansara di Kampung Baru Sungai Buloh itu turut memperlihatkan aksi bapanya  bergantung pada kren setinggi 15 meter menggunakan rambut selama lima minit.

Devendiran sebelum ini pernah menarik kapal seberat 110 tan menggunakan rambut dan van seberat 1.3 tan mengguna cuping telinga 10 tahun lalu.

Tiada ulasan: