Isnin, 17 September 2012

Desak k’jaan jawab kematian peserta kursus PTD ketika latihan ketenteraan

KEADILAN DAILY

Saya mewakili Angkatan Muda KEADILAN (AMK) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Aldy Hasmi Abu Hassan, pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik (PTD) yang telah meninggal dunia tatkala menjalani latihan ketenteraan di Kem Wataniah Force 136 di Pekan, Pahang petang semalam.

Difahamkan bahawa latihan ketenteraan wataniah kini merupakan sebahagian daripada modul kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) yang wajib dijalani oleh setiap pegawai PTD bagi tujuan latihan dan sebahagian daripada proses pengesahan dalam perkhidmatan awam.

Saya juga kesal dengan insiden ini memandangkan insiden sama pernah berlaku dua tahun lalu dan turut membabitkan kematian pegawai PTD yang sedang mengikuti kursus DPA iaitu Allahyarhamah Norhashimah Wahid yang maut ketika menjalani latihan ala-komando di Banting, Selangor.

Namun demikian, AMK mengalu-alukan dan menyambut baik langkah serta-merta Ketua Setiausaha Negara YBhg. Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa yang telah mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menghentikan semua aktiviti lasak melibatkan kursus DPA.

Sehubungan dengan itu, saya juga menggesa supaya pihak kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan hasil laporan siasatan berkaitan insiden ini serta menyatakan apakah kewajaran bagi seorang pegawai PTD dikehendaki menjalani latihan ketenteraan dan apakah keberkaitan latihan tersebut dengan bidang tugas sebagai seorang pegawai PTD?

Pegawai PTD dan seluruh anggota perkhidmatan awam merupakan aset penting dalam pentadbiran negara maka kerajaan seharusnya perlu bersikap tegas dalam menjamin keselamatan mereka tanpa mengira samada di premis kerja atau pun ketika sedang menjalani kursus dan program latihan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Aldy Hasmi dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Shamsul Iskandar Mohd Akin, 
Ketua Angkatan Muda KEADILAN

Tiada ulasan: