Sabtu, 22 September 2012

BN Johor tekad pertahan 26 kerusi Parlimen

SINAR HAIRIAN

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman
 
JOHOR BAHRU -  Barisan Nasional (BN) Johor bertekad mempertahankan 26 kerusi parlimen di negeri ini yang sekaligus memberi sumber kekuatan kepada BN untuk mengekalkan perkhidmatan kepada rakyat.
  
Menegaskan demikian, pengerusinya Datuk Abdul Ghani Othman berkata usaha sudah dilakukan dengan menggerakkan tenaga di peringkat akar umbi.
  
Ini termasuk menggabungkan jentera parti komponen di 922 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan meletakkan lebih 160,000 anggota parti bersiap siaga di bawah pelbagai portfolio di pusat-pusat daerah mengundi.
  
"Denyut nadi keyakinan sudah pun dirasai di setiap peti undi. Hampir separuh daripada 1.5 juta pengundi di negeri ini adalah anggota parti BN. Inilah sumber asas kekuatan kita.
  
"BN Johor menaruh keyakinan yang tinggi untuk meraih sokongan yang kuat di semua kerusi parlimen melalui sokongan asas anggota BN dan diperkukuhkan pula oleh perpaduan Melayu yang utuh di segenap ceruk negeri," katanya.
  
Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor berucap pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan berkelompok Umno bahagian-bahagian Johor oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.

Beliau berkata BN Johor yakin rakyat negeri ini mampu menilai masa depan agama, bangsa dan tanah air yang tidak boleh diserahkan kepada pakatan yang palsu serta tidak rela masa depan anak cucu mereka diperjudikan kepada suatu pakatan yang tidak sepakat perjuangannya.
  
Menurut Abdul Ghani sokongan rakyat Johor terhadap BN kukuh sejak dahulu lagi apabila memenangi 232 daripada 234 kerusi parlimen yang dipertandingkan sejak 1959.
  
Katanya, rekod itu mencerminkan Johor merupakan kubu kuat BN yang bukan datang dengan sendirinya tetapi menerusi perpaduan, kegiatan bersama rakyat sepanjang tahun, kerja keras dalam setiap pilihan raya serta perkhidmatan yang amat meyakinkan rakyat.
  
"Kita (BN Johor) sudah menempuh 12 pilihan raya umum sejak merdeka. Hanya dua kali kita kehilangan kerusi parlimen iaitu di Kluang pada 1978 dan Bakri pada 2008.
  
"Di Dewan Undangan Negeri, kita turut cemerlang dengan memenangi 459 kerusi daripada 576 yang dipertandingkan sepanjang tempoh itu," tegasnya. - Bernama

Tiada ulasan: