Isnin, 3 September 2012

AG ikut telunjuk Umno BN pinda pertuduhan bawah PAA – Anwar

Oleh Mohd Martin Kahar

KUALA LUMPUR 3 September: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Peguam Negara (AG) kerana beberapa kali meminda pertuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) terhadapnya serta dua lagi pemimpin KEADILAN berkaitan Himpunan Bersih 3.0.



Beliau berkata, pindaan tersebut membuktikan Peguam Negara gopoh dalam melakukan pendakwaan dan hanya mengikut arahan politik pimpinan Umno BN.

“Belum lagi bicara sudah dua kali pinda, pindaan dari segi teknikal, hukuman dan macam-macam lagi. Inilah bila Peguam Negara hilang kewibawaan profesionalisma dan menjadi alat politik murahan Umno BN.

“Pertuduhan sebegini penting pun boleh beberapa kali pinda. Pertuduhan untuk Anwar Ibrahim ada saja yang silap. Tak tahu sebab apa, mungkin sebab ‘gelap mata’,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar perkarangan Mahkamah Tiggi Jalan Duta hari ini.

Beliau hadir bagi memfailkan permohonan mengetepikan pertuduhan di bawah PAA, untuk didengar di Mahkamah Tinggi kerana kes bawah Seksyen 4(1)(c) PAA di luar bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Permohonan itu dikemukakan Anwar melalui peguam Karpal Singh manakala pendakwaan diketuai Abdul Wahab Mohamad.

Terdahulu, Abdul Wahab membantah permohonan itu dan meminta mahkamah mengambil sedikit masa untuk menelitinya.

Hakim Mahmud Abdullah menetapkan 13 September ini bagi mendengar bantahan pendakwaan terhadap permohonan memindahkan kes itu.

Anwar dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (2)(c), Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) Akta yang sama.

Turut dituduh di bawah akta yang sama, Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali dan Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Seksyen 118 dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Manakala untuk pertuduhan ketiga, mereka dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kononnya bersubahat memecahkan benteng ketika perhimpunan Bersih 3.0.

Tiada ulasan: