Sabtu, 1 September 2012

6 pelajar Malaysia di UK risiko diusir

K TODAY

 

Enam pelajar Malaysia di Britain berdepan kemungkinan diusir selepas lesen visa institusi pengajian tinggi mereka dibatalkan.UK Border Agency (UKBA) pada Rabu menarik balik lesen London Metropolitan University (LMU) untuk menaja visa kepada pelajar antarabangsa dari luar Kesatuan Eropah (EU).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu akan memberi kesan kepada semua pelajar bukan dari EU yang melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

“Pihak berkuasa di sana mendapati universiti tersebut telah menyalahgunakan kuasanya untuk mengambil pelajar antarabangsa, jadi lesennya telah ditarik balik.

“Kami meminta Pendidikan Malaysia di London untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut dari universiti itu,” katanya kepada The Star.

Di bawah peraturan visa Britain, semua pelajar bukan dari EU di LMU diberi tempoh 60 hari sama ada untuk mengemukakan permohonan memasuki insitusi lain atau meninggalkan negara itu.

Naib Canselor LMU, Prof Malcolm Gillies dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web universiti tersebut berkata, mereka akan berbincang dengan UKBA, Kesatuan Kebangsaan Pelajar dan kesatuan pelajarnya untuk menyelesaikan perkara ini.

“Kami telah menubuhkan pusat khidmat bantuan untuk memberi sokongan dan nasihat kepada pelajar,” katanya.

Akhbar The Sunday Times melaporkan bahawa pemeriksaan yang dilakukan oleh UKBA mendapati beberapa pelajar yang menyambung pengajian di LMU tidak mempunyai visa sah.

Pemeriksaan turut mendapati universiti tersebut gagal melaporkan ketidakhadiran pelajar antarabangsa selain penilaian keupayaan akademik pelajar dan penguasaan bahasa Inggeris.

Prof Gillies berkata, UKBA telah menggantung lesen visa universiti tersebut pada 16 Julai lalu selepas bimbang bahawa sebilangan kecil pelajar luar negara tidak mempunyai dokumen imigresen yang sah.

“Untuk tempoh enam minggu lalu, kami terus mencuba berhubung dengan UKBA untuk memahami keprihatinan mereka yang fokus kepada proses berkaitan legasi pengurusan terdahulu.
“Malangnya, UKBA enggan berkomunikasi dengan universiti,” dakwanya.

Pengerusi United Kingdom dan Majlis Eire Pelajar-pelajar Malaysia, Ahmad Syawal Hafriz Abdullah berkata keputusan itu tidak adil kepada pelajar luar negara yang menaruh kepercayaan terhadap institusi tersebut.

“Ia menyebabkan pelajar sedia ada dan akan datang resah. Ia juga mungkin mencetuskan panik dan mengecewakan pelajar asing di negara itu.

“Saya berharap isu ini akan diselesaikan segera memandangkan semester baru akan bermula tidak lama lagi,” katanya.

Menteri Universiti Britain, David Willets berkata, sebuah pasukan petugas ditubuhkan untuk membantu pelajar yang terjejas akibat keputusan itu sambil menambah ia akan dilaksanakan dengan serta-merta.

Pengurusan pusat pengajian tinggi mahu mencabar tindakan UKBA.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Pelajar (NUS)  Liam Burns berkata: “Keputusan berat ini tidak masuk munasabah bagi pelajar, tidak munasabah buat institusi dan tidak masuk akal bagi negara.”

Data Majlis Bagi Pelajar Antarabangsa UK menunjukkan antara negara bukan EU yang menghantar pelajar masing-masing ke  negara Eropah itu ialah China, India, Nigeria, Amerika Syarikat, Malaysia, Hong Kong, Arab Saudi, Pakistan, Thailand dan Kanada.

Menteri Imigresen, Damian Green berkata, universiti itu telah “kehilangan status diamanahkan” memandangkan satu kajian menunjukkan satu per empat penuntut luar negara tidak ada kebenaran untuk berada di UK.

“Kebanyakan penuntut tiada penguasaan standard bahasa Inggeris yang baik,” kata Green.

Selain itu katanya, tiada bukti menunjukkan separuh daripada mereka hadir kuliah.

“Pelanggaran itu adalah sesuatu yang serius,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: