Jumaat, 27 Julai 2012

Zuraida desak Najib kemuka calon menteri wanita


Najib melantik dirinya sebagai pemangku Menteri Wanita selepas tempoh Shahrizat (kiri) sebagai Senator tidak diperharui. — Gambar fail
 
PETALING JAYA ― Wanita PKR hari ini mempersoalkan keupayaan Perdana Menteri selaku pemangku Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kerana menurut mereka Datuk Seri Najib Razak telah pun memikul jawatan yang terlalu banyak.
 Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam sidang media hari ini menegaskan, walaupun telah melebihi tempoh tiga bulan Najib menjadi pemangku kementerian itu, beliau masih lagi gagal mengemukakan “plan map” untuk memperkasa wanita di negara ini.

“Isunya di sini bukan kerana beliau (Najib) lelaki. Tetapi beliau telah memegang terlalu banyak jawatan.

“Adakah dengan puluhan jawatan yang dipegang seperti ― Perdana Menteri Menteri Kewangan, Pengerusi Khazanah Nasional, Pengerusi 1MDB, dan Pengerusi Projek ‘High Impact’ ― Najib akan mampu mentadbir KPWKM dengan baik?” soal Zuraida.

Jelas Zuraida, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib seharusnya lebih mudah untuk merangka dasar dan polisi halatuju wanita.

“Lebih mudah beliau merangka dasar dan polisi wanita kerana beliau merupakan menteri kewangan dan perdana menteri.

“Malah, lebih mudah juga beliau untuk mengarusperdanakan peranan wanita terutamanya dalam pelaksanaan ‘Gender Budgeting’ yang masih tertangguh sehingga ke hari ini.”

“Lebih parah apabila penghinaan Najib berterusan ke kemuncaknya kerana gagal melantik pengganti menteri KPWKM daripada kalangan ahli Parlimen wanita Barisan Nasional (BN) atau 1.2 juta ahli Wanita Umno,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Ampang itu menuntut Najib agar segera mengemukakan calon menteri untuk KPWKM dan membentang satu hala tuju pembangunan wanita keluarga di negara ini.

“Saya menyeru Najib kemukan calon menteri KPWKM dan nyatakan halatuju dan matlamat jangka pendek, sederhana, dan panjang untuk pembangunan wanita,” katanya lagi.

Sejajar dengan itu, Zuraida turut mengumumkan kempen “Tolak Najib” yang menurutnya akan dilancarkan di seluruh negara, melalui pengedaran risalah “Hanya Untuk Wanita” bagi tujuan itu.

“Saya akan melancarkan kempen ini di Johor pada 28 Julai nanti, dan ianya akan memberi fokus kepada wanita di kawasan pedalaman termasuk kawasan tumpuan utama di bandar-bandar,” tambahnya.

Kempen ini juga jelas Zuraida bakal memberikan penekanan terhadap kegagalan Najib untuk menguruskan KPWKM melalui pengedaran risalah yang menurutnya akan menarik perhatian wanita.

Najib telah melantik dirinya menjadi pemangku kementerian berkenaan April lalu selepas menterinya ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan.

Tiada ulasan: