Sabtu, 14 Julai 2012

Zulkurnain Kamisan dilantik Ketua Pemuda Umno Johor

Wartawan Sinar Harian

JOHOR BAHRU - Ketua Pemuda Umno Bahagian Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan dilantik Ketua Pemuda Umno Johor yang baru bagi menggantikan Mohd Fadil Muskon berkuat kuasa Isnin ini.

"Pelantikan ini adalah rombakan kecil yang saya janjikan sebelum ini sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang," kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dipetik Bernama.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pulai di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat di sini hari ini.

"Saudara (Mohd) Fadil akan menjadi pegawai khas bagi membantu saya di Sekretariat Pemuda Barisan Nasional," katanya.

Pada majlis itu, Khairy turut menyaksikan pelancaran sistem aplikasi pangkalan data mudah alih pengundi muda Parlimen Pulai yang dikenali sebagai I-Pulai oleh Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.  

Sistem aplikasi itu memudahkan proses penyemakan dan pencarian nama pengundi muda kawasan Parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.

Mengambil masa selama tiga bulan untuk dibangunkan, sistem aplikasi itu mesra pengguna dan boleh diakses melalui semua jenis peranti seperti komputer peribadi, komputer riba, tablet dan telefon pintar yang mempunyai perkhidmatan jalur lebar.

Khairy turut melancarkan Skuad Bermotor Pemuda Barisan Nasional Pulai yang bertujuan menjalankan aktiviti-aktiviti kempen dari rumah ke rumah untuk menemui dan mendekati pengundi di kawasan parlimen itu.

Tiada ulasan: