Jumaat, 20 Julai 2012

Xavier: Hanya SUK Berkuasa Umumkan Krisis Air, Bukan Syabas





SHAH ALAM: Kuasa untuk mengumumkan krisis bekalan air di sesuatu negeri terletak pada tangan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan bukan syarikat konsesi yang mengendalikan operasi air.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sepatutnya memaklumkan kepada Kerajaan Negeri sekiranya krisis air benar berlaku.

“Kalau ada masalah pengurusan atau tak cukup air, Syabas bertanggungjawab memberitahu kepada Kerajaan Negeri. Tetapi sampai sekarang dia tak memberitahu kepada kita dan itu kesalahan besar dalam (perjanjian) konsesi yang ada.

“Orang yang boleh buat kenyataan dalam krisis air di mana-mana negeri ialah Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang jadi pengerusi untuk jawatankuasa kecemasan.

Ini akan jadi isu keselamatan,” ujar beliau di dalam program FOKUS Isu TVSelangor bersama Naeem Raffi.

Dibawah satu usaha penswastaan oleh Kerajaan Umno-BN dahulu, Syabas diberi kuasa untuk mengurus operasi merawat air mentah dan mengedarnya kepada pengguna di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Manakala Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertanggungjawab mengurus empangan yang menyimpan bekalan air mentah.

Menurut Xavier, kerajaan negeri telah menjalankan tanggungjawab dan menyediakan bekalan air mentah yang mencukupi.

Bagaimanapun, sekiranya bekalan air terawat di Negeri selangor tidak mencukupi, ianya merupakan kegagalan pada Syabas sebagai syarikat konsensi.

Xavier mengulangi pendirian kerajaan Selangor bahawa projek Langat 2 bagi menyalurkan air dari Pahang bukan satu usaha yang wajar memandangkan Selangor mempunyai bekalan air mentah yang cukup di empangan.

“Air mentah kita mencukupi, mengapa kita perlu ambil air mentah lagi dari Pahang pula?” Kata Xavier.
Selain itu, Xavier berkata harga air di Selangor bakal naik 70 peratus sekiranya Langat 2 diteruskan.


Tiada ulasan: