Selasa, 17 Julai 2012

Wanita PR lancar Agenda Wanita Malaysia

Hazayani Zakaria,
 

KUALA LUMPUR: Wanita Pakatan Rakyat hari ini melancarkan Agenda Wanita Malaysia (AWM) merangkumi dasar bersama mencakupi aspek perundangan, kelangsungan hidup yang berkualiti, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial dan agenda wanita muda.

AWM menekankan tiga elemen utama iaitu pemberdayaan, pengiktirafan dan pelaksanaan.

Bagi mencapai matlamat ini, AWM berhasrat menubuhkan Pusat Sokongan Wanita Bersepadu (PADU) di peringkat nasional bagi merealisasikan keberkesanan undang-undang yang merangkumi penubuhan baru dan pemberdayaan  pusat krisis sedia ada,  penambahan pusat kaunseling dan pemberdayaan NGO yang mendokong usaha ini. 

Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng, mereka berkata, penubuhan Pusat Wanita Berdaya ( PWB ) sangat penting bagi melahirkan golongan wanita yang berkemahiran, berilmu dan berdaya saing dalam masyarakat.

Wanita Pakatan Rakyat juga berhasrat memperkenalkan Caruman Wanita Nasional sebanyak RM50 sebulan daripada Pakatan Rakyat khusus sebagai pengiktirafan terhadap peranan wanita di dalam masyarakat.

"Kita mempercayai bahawa bantuan jika diberi tidak boleh berbentuk sekali sekala tetapi bantuan perlu bersifat membina dan berterusan," kata kenyataan itu.

Selain itu, caruman  sebanyak RM10 sehingga RM100 digalakkan diberi oleh para suami kepada isteri setiap bulan sebagai tabung simpanan hari tua, skim perubatan wanita dan tabung bantuan musibah apabila berlaku bencana, kemalangan atau kematian.

"Sesungguhnya, AWM yang kita lampirkan ini adalah cerminan harapan dan pelan bertindak Wanita Pakatan Rakyat melihat perlu dilaksanakan kelak diperingkat persekutuan.

"Kelak agenda yang kita mahu warwarkan bukan setakat pelan dan dasar yang menggubal tetapi kita mahu agenda yang menerapkan falsafah dan membudayakan agenda wanita di peringkat nasional dengan jelas," kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: