Selasa, 17 Julai 2012

Wan Azizah TKM 1 Pulau Pinang?

MOHD ISKANDAR OTHMAN

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
 
GEORGETOWN - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkemungkinan boleh dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 sekiranya beliau memenangi mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
         
Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Amir Md Ghazali berkata, jawatan itu mungkin boleh diberikan kepadanya sekiranya Pakatan Rakyat (PR) kekal memerintah negeri.
         
Katanya, cadangan berkenaan juga boleh dibuat sekiranya tiada calon ternama lain yang sesuai untuk jawatan itu.
         
“Setakat ini PKR negeri belum pernah membincangkan tentang perkara ini namun sekiranya ada peluang dan mengambil kira tiada calon lain yang ternama yang sesuai apa salahnya kita berikan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 kepadanya bagi mewakili PKR,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
         
Bagaimanapun Amir berkata, ia juga bergantung kepada parti sama ada mahu meletakkan Datuk Dr  Wan Azizah bertanding di Pulau Pinang ataupun di negeri lain.
         
Katanya, AMK memang amat mengalu-alukan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk kembali ke Pulau Pinang dan beliau yakin momentum sokongan rakyat kepada isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu masih lagi kuat.
         
Mengulas mengenai kenyataan Adun Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendakwa tindakan Dr Wan Azizah yang mahu bertanding di kerusi Pulau Pinang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi selain bukan mahu berkhidmat kepada masyarakat, Amir berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali.
         
Menurutnya, tindakan Dr Wan Azizah melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya adalah satu strategi PKR bagi menghapuskan Umno di kawasan berkenaan.

Tiada ulasan: