Sabtu, 7 Julai 2012

Umno hilang arah di bawah Najib, kata anak bekas pejuang Umno

 
 
KUALA LUMPUR — Anak kepada bekas pemimpin dan pejuang ternama Umno melihat parti terbesar Melayu itu kini hilang arah di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tamrin Ghafar, anak kepada  bekas Timbalan Perdana Menteri semasa era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Ghafar Baba turut menyuarakan rasa tidak senang dengan pentadbiran Najib yang menurutnya lebih banyak merampas daripada mempertahankan hak rakyat di negara ini.

"Umno sudah lari daripada matlamat perjuangan asal pemimpin terdahulu yang lebih mengutamakan rakyat.

"Di bawah pemerintahan Najib, Umno kini lebih banyak menekan dan merampas hak rakyat daripada mempertahankannya," kata Tamrin kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi malam tadi.

Tamrin turut menyuarakan rasa kecewa terhadap Najib (gambar) kerana sejak beliau menerajui negara ini pada 2009 apabila menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, dasar parti utama dalam Barisan Nasional (BN) itu juga telah berubah sama sekali.

"Sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini, dasar-dasar perjuangan Umno juga telah berubah," tambah bekas ahli Parlimen Batu Berendam ini lagi kepada The Malaysian Insider.

Bapa Tamrin, yang juga pernah menjadi pemangku perdana menteri sewaktu Dr Mahathir menjalani rawatan jantung pada 1989 adalah pejuang sejati Umno yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran empat perdana menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, Tun Ghafar juga pada pernah menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka selama lapan tahun bermula 1959 sehingga 1967 walaupun pada mulanya menolak untuk dilantik menjawat jawatan tersebut oleh Tunku Abdul Rahman.

Tamrin yang dilihat aktif di pentas-pentas ceramah Pakatan Rakyat (PR) hari ini turut mengesahkan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Disiplin Umno pada 26 Jun lalu apabila seringkali dilihat mengkritik kepimpinan perdana menteri tersebut.

"Memang saya telah menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin parti. Surat itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Jelas Tamrin, surat itu antara lain menuntut agar beliau memberikan penjelasan berhubung tindakannya mengkritik kepimpinan parti yang mana Jawatankuasa Pengurusan Umno melihatnya sebagai "melanggar disiplin parti."

"Saya diberi tempoh 14 hari untuk memberikan jawapan. Namun saya enggan membalasnya dengan surat. Sebaliknya, saya menuntut untuk bersemuka dengan jawatankuasa disiplin Umno dan memberikan penjelasan terus kepada mereka," tegas Tamrin yang turut menghadapi kemungkinan dipecat sebagai ahli Umno.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai parti politik lain sekiranya dipecat, Tamrin menjelaskan, beliau masih lagi belum membuat keputusan terhadap perkara itu.

"Kita tunggu tindakan jawatankuasa disiplin parti dahulu. Saya belum fikir lagi nak sertai mana-mana parti," tambahnya lagi.

Tamrin yang sebelum ini hanya memencilkan diri kini dilihat semakin agresif di pentas ceramah anjuran pembangkang termasuk kemunculan semula pertamanya pada perhimpunan pra Bersih 3.0 pada penghujung April lalu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini.

Selain itu, beliau juga pernah menulis "surat kuning" kepada Najib dan memberi teguran, saranan dan pandangan bagi memulihkan sokongan rakyat kepada Umno.

Bagaimanapun, usaha beliau itu tidak mendapat perhatian Najib walaupun perdana menteri itu kerap menyatakan parti itu "perlu berubah jika tidak mahu diubah" dalam pilihan raya umum ke-13 yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: