Rabu, 4 Julai 2012

UMNO gunakan PERKASA untuk buat kacau?

Roketkini.com
Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang




KULA LUMPUR: Slogan 1Malaysia sudah pun berkecai dan tidak dipedulikan oleh penyokong-penyokong UMNO-Barisan Nasional  yang rasis dan ekstrem di mana mereka giat menjalankan kempen yang boleh menggugat perpaduan antara kaum.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, penyokong UMNO dalam kumpulan pelampau kaum Perkasa dan lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, terus memainkan sentimen perkauman.

Katanya, tindakan perkauman mereka termasuklah kempen menyebarkan rasa benci yang sengaja direka terhadap Pengerusi Bersama BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan dan dirinya sendiri sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurutnya, Ambiga sudah pun diganggu-gugat di rumahnya dengan burger daging lembu dan tarian tunjuk punggung oleh bekas tentera, iaitu satu tindakan yang amat biadap terhadap seorang Hindu, wanita dan masyarakat India.

Lebih teruk lagi, kata Guan Eng, Ahli Parlimen UMNO Sri Gading Datuk Mohamad Aziz telah mengeluarkan kenyataan supaya Ambiga dihukum bunuh kerana mahukan pilihan raya yang adil, bebas dan bersih.

“Kenapakah Mohamad Aziz tidak menuntut tindakan yang sama terhadap mereka yang mencuri undi atau duit rakyat?” soal beliau dalam satu kenyataan.



Katanya, Datuk Seri Najib Razak harus buktikan beliau menghormati masyarakat India, Hindu dan wanita dengan mengarahkan supaya Mohamad Aziz meminta maaf secara penuh dan tanpa syarat terhadap Ambiga.

Beliau juga mahu Perdana Menteri membuktikan ketegasan dalam insiden yang berlaku semasa lawatan beliau (Guan Eng) di Teluk Bahang, Pulau Pinang di mana beliau telah diserang dan ditolak dari belakang oleh penyokong Perkasa.

“Perkasa bukan sahaja membuat demonstrasi yang kesat hanya beberapa meter daripada saya tetapi juga telah menyerang saya dari belakang dengan menolak saya. Penyerang itu telah diheret keluar bukan oleh polis tetapi oleh seorang pemimpin JKKK Pakatan Rakyat tempatan,” jelasnya.

Guan Eng turut melahirkan rasa kekecewaannya terhadap tindakan biadap ahli Perkasa dan kesal kerana polis gagal bertindak dengan cekap.



“Ini bukan kali pertama penyokong Perkasa bertindak ganas. Mereka punya rekod keganasan terhadap wartawan, sekali pada bulan Julai tahun lepas di Jambatan Pulau Pinang dan kali kedua semasa perhimpunan anti-Lynas pada Februari 28 di Padang Kota Lama,” katanya.

Semasa perhimpunan anti-Lynas, penyokong Perkasa telah menyekat dan memukul kereta rasmi beliau dan mengancam keselamatannya, tambah beliau. “Tetapi tiada tindakan yang diambil oleh pihak polis yang hanya memerhatikan.”

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyeru UMNO untuk menarik balik sokongannya terhadap perkasa yang dilihat sebuah organisasi yang rasis dan ekstrem apatah lagi mempunyai rekod kebencian dan keganasan terhadap bukan-Melayu.

“Kegagalan untuk membuat demikian akan lagi menggalakkan tindakan ganas dan Najib harus bertanggungjawab penuh untuk apa-apa kejadian yang serius dalam masa depan,” katanya. – Roketkini.com




  RENCANA
 
 
 
 
 
 
 
 
 
BERITA
 
 
 
 
 
 
 
 
 
WAWANCARA
 
 
 
 
 
 
 
 
 
SENI-BUDAYA
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan: