Jumaat, 20 Julai 2012

Ulama Muda Umno tolak fitnah blogger Umno

Muhammad Faizal,
SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekreteriat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya pada sidang media di Kompleks Karangkraf semalam menolak budaya fitnah yang dilakukan oleh blogger pro Umno, Papagomo.

Beliau yang menjelaskan pendirian tersebut ketika menjawab pertanyaan pemberita berhubung budaya fitnah yang dilakukan oleh blogger pro Umno itu yang sentiasa menjadi topik utama kepada media pro kerajaan dalam usaha meraih sokongan undi.

"Saya katakan secara prinsip tidak setuju dengan bentuk fitnah dan provokasi yang dilakukan.

"Sewajarnya kita perlu perbetulkan dan memperbaiki keadaan, perlu bekerjasama dalam mengurangkan budaya melontar persepsi tanpa fakta dan bukti," jelasnya selepas program debat anjuran Sinar Harian.

Tambahnya lagi, didikan perlu dilakukan dalam membuat analisa sebelum menjatuhkan hukum.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan memberitahu mewujudkan budaya debat seperti ini adalah satu budaya yang sihat.

"Untuk buat budaya baru seperti debat ia perlu ada keberanian kerana politik tanah air bermula pertembungan yang sangat sengit.

"Walaupun kami berbeza pandangan dalam dunia politik kami tetap saling hormati menghormati," katanya.

Katanya lagi, budaya debat walaupun hujah itu kadang kala hangat serta tajam namun ia tetap menunjukkan satu kebaikan dalam mencari penyelesaian dalam setiap pandangan.

"Dengan debat secara terbuka kita dapat mengurangkan budaya lempar batu sembunyi tangan.

"Menuduh seseorang dengan pelbagai fitnah tanpa fakta tetapi tidak mahu bertanggungjawab terhadap tuduhan yang dilakukan itu," sambung beliau lagi.

Dalam pada itu, Fathul Bari memberitahu beliau telah menasihati blogger pro Umno yang telah menyebarkan fitnah tanpa asas terutamanya penyebaran video yang mengaibkan seseorang individu.

"Perkara yang melangkaui persepsi fitnah seperti penyebaran video yang mengaibkan memang kami tidak bersetuju.

"Yang salah tetap salah dan kami sentiasa membuat teguran," jelas beliau lagi.

Sebelum itu kedua-dua mereka telah bersama-sama dalam program debat yang bertajuk 'PRU13: Orang Muda Pilih Siapa' anjuran Sinar Harian yang dimoderatorkan oleh Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya.

Tiada ulasan: