Isnin, 16 Julai 2012

Tuduh Pemuda PAS menipu: Umno dituntut penjelasan

Harakahdaily,
JOHOR BAHRU: Pemuda PAS Johor mendesak Pemuda Umno membuat penjelasan ekoran dakwaan mereka terhadap PAS sebelum ini kerana terbukti dakwaan PAS sebelum ini.

Ini berikutan perubahan pucuk pimpinan Pemuda Umno Johor mulai esok, kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat (gambar).

"Saya mewakili rakyat Negeri Johor mahukan penjelasan daripada semua Ketua-ketua Pemuda UMNO yang telah menafikan dalam akhbar dan menuduh Pemuda PAS Johor dengan pelbagai
tuduhan.

"Rakyat Johor mahu tahu siapa yang menipu dalam pergolakkan Pemuda UMNO Johor.

"Adakah Pemuda UMNO menipu rakyat Johor? Mereka yang menipu tidak layak menjadi pemimpin negeri dan negara ini," kata Suhaizan dalam kenyataannya hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar mengumumkan pertukaran Ketua Pemuda Umno Johor.

Ketuanya, Mohd Fadil Muskon (gambar) disingkirkan dari jawatannya.

Beliau digantikan oleh Ketua Pemuda Umno bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Pengumuman ini dibuat sendiri oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Pulai di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat di Johor Bahru 14 Julai lepas.

"Pelantikan ini adalah rombakan kecil yang saya janjikan sebelum ini sebagai persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang," kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Dalam kenyataannya pada 28 Jun 2012 lalu, Suhaizan berkata, 16 Ketua Pemuda UMNO bahagian di Johor telah menolak kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Fadil Muskon.

Mereka telah mendesak Ketua Pemuda UMNO Johor meletakkan Jawatan.

Namun kepimpinan Pemuda Umno Malaysia dan Johor telah menafikan pergolakkan ini dengan menuduh beliau dan Pemuda PAS Johor dengan perbagai tuduhan.

"Kini dengan perubahan kepimpinan UMNO Negeri Johor bermula esok membuktikan kebenaran
kenyataan saya sebelum ini.

"Mustahil bagi mana-mana parti politik membuat perubahan kepimpinan disaat-saat genting menghadapi pilihanraya terutamanya di Johor yang menjadi sasaran Pakatan Rakyat (PR) untuk menawannya," kata Suhaizan dalam kenyataannya itu.

The Malaysian Insider dalam laporannya pula berkata, Pemuda Umno Johor berpecah dua dengan satu kumpulan yang dipimpin oleh Mohd Fadil Muskon bertembung dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Mohd Fadil Muskon, dikatakan mempunyai masalah dengan Ghani selepas menganjurkan perhimpunan taat setia kepada Sultan Johor pada 10 Jun lalu dalam isu pembelian nombor pendaftaran ‘WWW 1’.

“Fadil disuruh supaya tidak menganjurkan acara tersebut kerana ia akan memberikan imej negatif kepada Umno.

“Semenjak itu, beliau tidak disukai dan kepimpinan negeri mahukan beliau digantikan,” kata sumber kapada The Malaysian Insider, tulis Editornya, Jahabar Sadiq.

Perhimpunan Menjunjung Taat Setia di Istana Pasir Pelangi dihadiri ramai tetapi hanya beberapa kerat pemimpin Umno negeri untuk menyokong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dikhabarkan pemimpin Umno negeri mahu menjarakkan diri mereka dalam isu pembelian nombor pendataran kenderaan beharga RM520,000 oleh sultan pada ketika keadaan ekonomi yang tidak baik.

Tiada ulasan: