Rabu, 4 Julai 2012

Tiga Juta Pengundi Muda Disaran Tolak Gagasan Mahathirisme





SHAH ALAM  : Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengingatkan pengundi-pengundi baru agar menolak gagasan ‘Mahathirisme’ seterusnya mengakhiri pemerintahan 55 tahun Umno-BN yang sarat dengan korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.

Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed baru-baru ini bahawa pengundi Cina adalah faktor penentu Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) selain dakwaan PRU13 akan didalangi isu perkauman hanya menyerlahkan lagi ketakutan bekas Perdana Menteri keempat itu akan kebangkitan majoriti 3 juta pengundi baru bakal menolak Umno-BN, ulas Kit Siang.

“Hari ini kita dapat lihat kebangkitan rakyat menentang gaya politik lama bermula dari Gerakan Reformasi 1998 hingga kepada tsunami politik 2008 yang menyaksikan negeri-negeri Umno-BN jatuh ke tangan Pakatan Rakyat(PR), seterusnya menafikan majoriti dua pertiga mereka di parlimen.

“Kejayaan Bersih 3.0 juga membuat Mahathir begitu gusar akan kehilangan kuasa di Putrajaya hingga mendesak beliau menghidupkan taktik Mahathirisme; pecah dan tawan selain mencetuskan konflik perkauman,” jelas beliau dalam satu kenyataan medianya.

Kit Siang juga yakin kewujudan 3 juta pengundi baru iaitu lebih kurang satu perempat daripada 13 juta dalam senarai daftar pemilih juga adalah dimotivasikan oleh keperluan rakyat untuk melakukan perubahan politik dalam pilihanraya yang akan datang.

“Jika 65 peratus daripada pengundi baru ini membuang undi menolak kerajaan BN, PR akan memenangi 110 kerusi, 2 kerusi kurang daripada majoriti keseluruhan.

“Jika 70 peratus daripada pengundi baru ini menolak BN, maka Pakatan akan meraih 123 kerusi parlimen dan cukup untuk membentuk kerajaan baru di Putrajaya,” jelas beliau sambil menyifatkan kemungkinan itu sebagai mimpi ngeri bagi Dr Mahathir dan Umno-BN.

Sehubungan itu, Kit Siang menyeru agar pengundi-pengundi baru ini mengetuai perubahan untuk menentang politik Mahathirisme yang berkonsepkan “pecah dan tawan”.

“Watak yang pengundi-pengundi baru mainkan juga adalah lebih signifikan lebih-lebih lagi dengan kewujudan “pengundi hantu” dalam senarai daftar pengundi yang mana dijangkakan PRU akan datang bakal menjadi pilihanraya paling kotor dalam sejarah Negara ini.

“Saya harap pengundi-pengundi baru dapat membuang undi untuk masa depan yang cerah selain mengakhiri era pemerintahan selama ini yang penuh kronisme, korupsi dan penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.

Tiada ulasan: