Rabu, 18 Julai 2012

Syok kalau kes berjalan: Mat Sabu

Wartawan Sinar Harian

Syok kalau kes berjalan: Mat Sabu
Mat Sabu bersama Aminuddin (kanan) selepas kes ditangguhkan, semalam.
 
 
BUTTERWORTH - “Tak apa, biasalah. Syok sikit kalau kes bicara ini berjalan,” demikian kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu ketika ditanya mengenai penolakan permohonannya untuk mengetepikan kes itu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Beliau berkata, proses perundangan belum tamat dan ia boleh diteruskan ke Mahkamah Persekutuan yang akan difailkan peguam belanya sedikit masa lagi.

“Jika kena bicara, kita bicaralah. Kita masih boleh lawan dan berhujah dalam mahkamah. Kita lawanlah untuk tegakkan keadilan,” katanya ketika ditemui selepas perbicaraan kes ditangguhkan Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Sungguhpun begitu, beliau mengakui perbicaraan kes di mahkamah secara tidak langsung menyebabkan jadual hariannya terganggu dan ada sesetengah program terpaksa ditangguh atau ditunda.

“Memang kadang-kadang saya berasa terganggu juga ini kerana dengan kes mahkamah ni. Banyak lagi kes mahkamah selepas ini. Ada tiga lagi yang saya kena saman (dakwa) termasuk Bersih.

“Itu belum ambil kira kes yang saya saman depa,” katanya sambil ditemani kira-kira 20 penyokongnya.

Ditanya mengenai tempoh perbicaraan yang akan berlarutan hingga Oktober, beliau berkata biasalah proses perundangan kadang-kadang mengambil masa yang lama. Mat Sabu yang tiba di pekarangan kompleks mahkamah Butterworth kira-kira jam 9.15 pagi dan sempat menegur beberapa wartawan sebelum terus menuju ke Mahkamah Seysen 4 yang terletak di tingkat dua.

Tiada ulasan: