Isnin, 9 Julai 2012

Syarikat Scorpene laksana LRT Ampang - PKR

Harakahdaily,
 
 AMPANG: Selepas mendakwa syarikat George Kent mendapat projek LRT Ampang melalui jalan yang tidak betul, PKR mendakwa, syarikat dari Perancis yang berkaitan Scorpene pula yang akan membina projek itu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam ceramahnya di Kompleks Muhibbah Taman Nirwana di sini (gambar) berkata syarikat George Kent hanya berminat mendapatkan keuntungan ‘atas angin’ sahaja dan bakal menyerahkan pelaksaan projek itu kepada syarikat dari Perancis terbabit.

“Maknanya Datuk Seri Najib Razak tidak cukup dia dapat RM600 juta daripada syarikat Perancis yang menjual kapal selam ‘second hand’ tetapi 10 tahun kemudian syarikat yang sama itu Datuk Seri Najib rancang dan berikan kontrak RM1 bilion,” dakwa Rafizi sebagaimana dilaporkan media rasmi Selangor, Selangorku.

Tambah Rafizi, syarikat George Kent ini dimiliki oleh seorang peniaga yang bernama Tan Sri Tan Kay Hock seorang ‘taukey’ yang merupakan rakan akrab Datuk Seri Najib Razak daripada sekolah menengah sehingga kini.

“George Kent yang merupakan syarikat membuat meter paip ini adalah merupakan ‘Ali Baba’ yang tidak berminat dan hanya akan mengambil keuntungan di atas angin sahaja,” kata Rafizi.

Jelas Rafizi, beliau tidak gentar dengan ugutan dan ancaman daripada terus mendedahkan skandal RM1 bilion ini demi rakyat.

Negara ini berhadapan dengan skandal yang cukup bahaya kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat yang bakal menggunakan sistem pengangkutan LRT jika syarikat yang tidak mempunyai kepakaran melaksanakan projek penting ini.

“Kami Pakatan Rakyat akan membawa isu ini kepada penduduk di Ampang, Pandan, Cheras dan Bandar Tun Razak minggu depan kita akan turun untuk mengedarkan risalah agar lebih ramai orang yang akan faham skandal LRT Ampang ini bukan soal hanya politik, tetapi ia melibatkan nyawa rakyat.

“Tiap-tiap minggu kita akan dedahkan dokumen baru untuk membuktikan bahawa inilah rancangan dan angkara Datuk Seri Najib Razak,dia tidak fikir tentang keselamatan rakyat,” katanya.

Tambah Rafizi, pendedahan skandal RM1 bilion akan terus ‘membenamkan’ karier politik Najib.

“Projek LRT Ampang ini memang cukup dibimbangi oleh Najib jika ia diketahui rakyat kerana ada surat dan dokumen yang ditandatangani sendiri oleh Najib sendiri,” tegasnya.

Tiada ulasan: