Piarapakaran S
Rujukan kami: awer.2012.009bm
15 JULAI 2012
Kepada,
YAB DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
Perdana Menteri
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya
YAB Dato' Sri,
PENYIASATAN BEBAS (INDEPENDENT INVESTIGATION) KE ATAS PIHAK BERKUASA PEMBANGUNAN TENAGA LESTARI (SEDA)
Perkara di atas dirujuk.
Persatuan
Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah mengutarakan pelbagai
isu yang berkaitan dengan pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE)
dan kaedah yang digunakan di Malaysia. Agenda Teknologi Hijau yang
dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan diikrarkan oleh YAB Dato 'Sri
diganggu-gugat oleh peningkatan kelemahan dan pengaburan kebenaran (whitewashing) serta tuduhan salah laku dalam sistem Tarif Galakan (Feed-in-Tariff / FiT) baru-baru ini.
YAB Dato' Sri, kami ingin mengetengahkan beberapa isu berkaitan dengan SEDA yang memerlukan campur tangan Kabinet:
(i)
Mekanisme FiT telah diterima pakai (bukan dibangunkan sepenuhnya) oleh
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi pelaksanaan
projek-projek RE. 25% pengguna domestik serta pengguna-pengguna
kategori lain dari institusi, perniagaan, industri, dan sebagainya, di
Semenanjung Malaysia menyumbang kepada FiT. Kos FiT kepada perniagaan
disalurkan secara langsung kepada rakyat melalui kos perkhidmatan dan
produk. Akhirnya, semua kos FiT akan dibayar oleh rakyat dan ini adalah
satu fakta ekonomi yang tidak boleh disangkal di seluruh dunia.
(ii)
Sehingga kini, formula penetapan kos unit FiT masih tidak diketahui.
Bagaimana KeTTHA dan perunding mereka mendapat kos seunit kiloWattjam
(kWj) yang sedang ditawarkan? Tiada ketelusan dalam keadaan ini.
Adakah terdapat pengiraan untuk menentukan Perbelanjaan Modal (capex),
Perbelanjaan Operasi (opex), Keuntungan yang Dikawalselia dan Ganjaran
Kecekapan? FiT dibiayai oleh rakyat dan rakyat mesti mengetahui
mekanisme dan butir-butir pengiraannya. Malahan, seorang perunding yang
merupakan sebahagian daripada pembangunan mekanisme FiT ini melabelkan
SEDA sebagai "Robin Hood songsang" (mencuri daripada golongan miskin dan
memberi kepada golongan kaya) dan menghantar e-mel aduan yang panjang
kepada AWER kerana KeTTHA gagal untuk membuat pembetulan.
(iii)
Pelaksanaan RE melalui mekanisme FiT masih boleh dipersoalkan. Model
ini tidak menjamin pertumbuhan industri RE yang mampan dan berterusan.
Gambaran yang diberi kepada media dan rakyat adalah bertentangan dengan
realiti. Apa yang berlaku selepas "tahun-tahun menguntungkan"? Adakah
pelabur akan terus melabur? Ia adalah jelas bahawa pertumbuhan RE
mestilah berasaskan sumber tempatan (indigenous) dengan capex
dan opex yang berpatutan. Keperluan teknologi adalah juga satu lagi
pra-syarat. Model masa kini hanya melihat pada kadar FiT yang
menguntungkan dan model-model yang diguna di luar negara telah terbukti
ia tidak mampan bagi mengekalkan pertumbuhan industri RE dalam jangka
masa panjang. Unjuran kos dan bekalan bahan mentah juga menunjukkan
perbezaan yang ketara. Sebagai contoh:
a. Biojisim (biomas)
kelapa sawit - serat daripada kelapa sawit boleh ditukar kepada
pembungkusan berasaskan kertas. Oleh itu, perkembangan bagi biomas
kelapa sawit akan menghadapi persaingan daripada industri kertas kerana
pulangan ekonomi yang cepat dan pengiktirafan alam sekitar yang lebih
baik untuk pembungkusan berasaskan kertas. Selain itu, kertas boleh
dikitar semula dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Kita juga
harus ingat bahawa wang dan pengiktirafan merupakan keutamaan kepada
peniaga.
b. Solar Photovoltaic (PV) - panel solar dan bahagian-bahagian lain seperti penyongsang (inverter)
dan bateri memerlukan bahan mentah. Perubahan yang mendadak kepada
permintaan solar PV akan menyebabkan kos bahan mentah naik mendadak.
Gas asli dan arang batu adalah contoh yang baik untuk rujukan
serta-merta.
(iv) Baru-baru ini, beberapa ahli parlimen telah
mendedahkan dalam media mengenai oligopoli (sejenis monopoli) FiT solar
PV yang dikaitkan kepada individu tertentu. FiT mesti tidak boleh
disalahgunakan untuk amalan monopoli. SEDA (termasuk ahli lembaga
pengarah dan kakitangan) tidak boleh terus menuding jari kepada objek
yang tidak bernyawa seperti sistem komputer jika wujud masalah atau
mengiktirafnya sebagai mekanisme "telus". Sebuah komputer hanya boleh
menjadi mekanisme kawalan kerana manusia masih mengawal input dan
outputnya. Tindakan perlu diambil untuk mencegah sesetengah pihak
mengaut keuntungan berlebihan daripada wang rakyat yang disumbangkan
untuk FiT.
(v) Secara relatif, Malaysia mempunyai Keluaran Dalam
Negeri Kasar (KDNK) dan bilangan penduduk yang lebih kecil, maka ia
adalah kurang bijak dan tidak strategik bagi Malaysia untuk membentuk
sebuah agensi yang tidak diperlukan (redundant) seperti SEDA. Malahan,
terdapat "cerita dalaman" di mana KeTTHA jelas mengenainya. Tugas SEDA
boleh dijalankan dengan mudah oleh Suruhanjaya Tenaga ataupun Green
Technology Corporation. Sebelum Akta SEDA dan RE diluluskan di
Parlimen, cadangan ini juga telah diberikan kepada KeTTHA tetapi ia
tidak dihiraukan langsung. Laporan kami mengenai industri elektrik
bertajuk, "Perjuangan: Masa Depan Industri Eletrik Negara Kita" yang
diterbitkan pada Jun 2011 juga telah menekankan keperluan untuk agensi
tunggal untuk tenaga iaitu Suruhanjaya Tenaga bagi sistem ekonomi
seperti Malaysia.
(vi) Berdasarkan laporan media, SEDA juga
memohon peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R & D).
Memandangkan SEDA adalah agensi redundant dan duplikasi, SEDA tidak
harus dibenarkan untuk mengulangi apa yang Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi (MOSTI) sedang laksanakan. Ini adalah kerana ia akan
membazirkan wang rakyat. MOSTI perlu meneruskan kerja R & D yang
berkaitan dengan RE.
(vii) AWER juga telah mengutarakan beberapa
kali kepada KeTTHA bahawa SEDA, agensi yang redundant, tidak boleh
menjalankan sebarang tugas berkaitan Kecekapan Tenaga (EE). Sebenarnya,
SEDA tidak mempunyai sebarang bidang kuasa berkaitan EE. SEDA sudahpun
dibayangi kegagalan seperti menggunakan model yang tidak sesuai untuk
pembangunan RE, Program Rebat SAVE (di mana ia tidak mempunyai sebarang
bidang kuasa) dan kini isu solar PV. Pelaksanaan Kecekapan Tenaga mesti
dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga kerana mereka diberi kuasa oleh Akta
Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik. SEDA masih belum
mencapai apa-apa kejayaan kecuali beberapa kegagalan yang ketara seperti
yang dinyatakan di atas.
AWER menyeru YAB Dato' Sri untuk
membentuk sebuah panel bebas untuk menyiasat semua perkara di atas.
Panel ini juga perlu mengkaji pelaksanaan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui
2011 secara langsung di bawah Suruhanjaya Tenaga untuk mengelakkan
redundancy dan pembaziran dana operasi. Seksyen 14 Akta Suruhanjaya
Tenaga 2001 dengan jelas menetapkan bidang kuasa untuk membangunkan RE
di bawah Suruhanjaya Tenaga. Ini juga bermakna Akta SEDA 2011 perlu
dimansuhkan kerana sifatnya yang berunsurkan redundant. Adalah penting
untuk membina industri RE yang berkembang tetapi model yang diguna pakai
sekarang akan gagal kerana ia tidak mampan dan Malaysia bukanlah
pemilik teknologi. Laporan siasatan ini juga mesti disiarkan untuk
pengetahuan umum.
AWER juga telah mengutarakan isu-isu ini
kepada KeTTHA beberapa kali dan semua kebimbangan dan cadangan kami
tidak dipedulikan. Malaysia memerlukan model yang kukuh, mampan dan
berdaya maju untuk membangunkan industri RE secara mampan tetapi FiT
tidak menjamin perkara ini. Jika Malaysia benar-benar berhasrat untuk
mempunyai Pembangunan Lestari, kita perlu merombak rancangan dan
pelaksanaan yang sedia ada supaya ia berasaskan sains dan keupayaan
negara. Mengakui dan membetulkan kesilapan adalah perkara mulia
berbanding dengan meninggalkannya berkembang menjadi satu bencana.
Kami
menghargai masa dan pertimbangan yang diberikan oleh YAB Dato' Sri
kepada kami dan kami berharap bahawa Kerajaan Persekutuan akan
melindungi kepentingan awam seperti yang digema di "1 Malaysia: Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" serta mempertimbangkan cadangan yang
diberikan oleh AWER sewajarnya.
Terima kasih.
Yang benar,
PIARAPAKARAN S.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan