Rabu, 4 Julai 2012

Siapa Perdana Menteri, Rosmah atau Najib?

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi memberi gambaran negatif terhadap suaminya, Datuk Seri Najib Razak yang sememangnya dianggap lemah kerana dikuasai isteri, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa.



“Najib dilihat gagal melaksanakan tenggungjawab selama ini kerana isterinya acap kali dilihat mengambil alih tugas dan menghadiri majlis-majlis bersama rakyat,” katanya.

Semalam, Rosmah muncul dalam satu wawancara bertajuk “Ekspresi Remaja bersama Perdana Menteri” kelolaan rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM1.

Penampilan beliau itu menimbulkan tanda tanya kepada rakyat khususnya golongan remaja siapa Perdana Menteri sebenarnya, adakah Rosmah atau Najib.

Sebelum ini, Rosmah beberapa kali mewakili suaminya menghadiri majlis seperti Karnival Deepavali 1Malaysia di Little India dekat Brickfields serta Program Mesra Bersama Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu 2, Mac lalu.

Mengulas lanjut, Fariz berkata, tindakan Rosmah itu seperti menidakkan tugas Timbalan Perdana Menteri serta menteri lain yang sepatutnya menjadi pemangku di waktu ketiadaan Najib.

“Rosmah kelihatan lebih menguasai pentadbiran dan urusan kerajaan,” kata Fariz yang juga Ketua Koordinasi Jingga 13.

Beliau turut menyifatkan tindakan Rosmah yang sering muncul dalam kebanyakan program tidak ubah seperti ‘kaduk naik junjung’.

“Perkara begini tidak pernah berlaku sebelum ini. Jika kita lihat isteri lima Perdana Menteri sebelum ini semua bersifat ‘low profile’,” jelasnya.

“Kejadian seperti ini boleh disifatkan agak luar biasa yang hanya pernah dilakukan Rosmah,” kata Fariz lagi.

Tiada ulasan: