Ahad, 22 Julai 2012

Shahidan sedia lepas jawatan Presiden PFA

SINAR HARIAN

Datuk Seri Shahidan Kassim
Datuk Seri Shahidan Kassim
 
 
KANGAR - Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini menyatakan hasrat untuk berundur daripada meneraju persatuan itu jika ada pihak lain yang  berminat menggantikannya.

Beliau yang menawarkan jawatan itu kepada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Md Isa Sabu, berkata PFA memerlukan peruntukan yang besar untuk kembali gah dalam saingan liga.

"Saya tahu beliau (Md Isa) tak minat bola sepak, tetapi beliau mempunyai sumber kewangan untuk meneraju sukan ini," katanya pada sidang media, di sini.

Shahidan berkata kekangan kewangan menyebabkan PFA gagal menyerlah dalam saingan Liga Perdana musim ini sehingga terpaksa beraksi dalam Liga FAM musim depan.

Katanya sejak meneraju PFA pada 1998, beliau berkorban dari segi kewangan demi memastikan skuad Singa Utara yang pernah menjulang Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 itu terus hidup.   

Beliau turut mengaitkan kegagalan musim ini dengan penyelewengan segelintir pemain Perlis.

Pada masa yang Shahidan meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan garis panduan berkenaan gaji pemain, agar tidak timbul perbezaan ketara antara pemain pasukan 'kaya' dan 'miskin' sehingga menimbulkan kesan negatif kepada pemain itu sendiri. - Bernama

Tiada ulasan: