Rabu, 4 Julai 2012

Serbuan bermotif politik – Cyhthia

Oleh Sidiqin Omar


KUALA LUMPUR: Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel mempersoal serbuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke pejabat NGO itu semalam, sedangkan siasatan sepatutnya dijalankan ke atas syarikat Perimekar dan Terasasi.

“SSM salah meletak keutamaan dalam tindakan. Mereka sepatutnya siasat dan persoal aktiviti syarikat Perimekar dan Terasasi.

“Sedangkan Suaram hanya mendedah skandal Scorpene yang melibatkan wang komisen RM500 juta milik pembayar cukai Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Cynthia, tindakan ini menunjukkan seolah-olah SSM baru bangun dari tidur dan hanya menyedari kewujudan Suaram, walhal NGO yang berdaftar atas nama Suara Inisiatif Sdn Bhd itu telah bergerak selama 23 tahun.

“Tiada apa yang nak disembunyikan. Kami memenuhi syarat yang ditentukan undang-undang termasuk menghantar laporan audit penuh (kepada SSM).

“Pendaftaran Suaram dengan SSM adalah sejak 2002 akibat kekangan kerajaan untuk membenarkan NGO hak asasi berpersatuan. Untuk makluman, Suaram telah menerima kurnia penghargaan dari Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia),” jelas beliau.

Beliau tidak menolak kemungkinan serbuan dibuat akibat laporan polis oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM), 2 Julai lalu.

“Serbuan ini bermotif politik. Ketika mereka datang, SSM gagal menyatakan alasan,” kata Cynthia lagi.

Tiada ulasan: