Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri Selangor dihujani tohmahan apabila air didakwa tidak mencukupi di Negeri Selangor sedangkan masalah tersebut disebabkan kegagalan Syabas mengendalikan dan menguruskan air di negeri ini.
Menurutnya, baru-baru ini Syabas memberi alasan bahawa krisis air yang melanda Selangor disebabkan rakyat menggunakan air lebih dari penggunaan biasa.
“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri yang memegang amanah rakyat tidak akan sesekali menerima penjelasan Syabas kerana air di Selangor sememangnya mencukupi.
“Buktinya, air di empangan melimpah keluar tetapi yang tidak cukupnya adalah air dirawat. Ini membuktikan pengurusan pengendalian air oleh Syabas tidak betul dan mereka gagal melaksanakan apa yang diamanahkan,” kata beliau ketika berucap pada Program Khas Terima Kasih Rakyat Daerah Gombak di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, semalam.
Abdul Khalid berkata, perjanjian penswastaan antara Syabas dengan Kerajaan Negeri sebelum ini memberi kuasa sangat besar kepada Syabas untuk mengendalikan pengurusan air dan termasuklah menaikkan tarif air.
Katanya, sekiranya perjanjian penswastaan itu diteruskan, rakyat Selangor akan terus menerima beban iaitu harga air akan terus naik 20 hingga 30 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Kita tidak akan menerima situasi ini kerana Kerajaan Negeri diberi amanah untuk merakyatkan ekonomi Negeri Selangor dan bukannya untuk menaikkan harga bagi membebankan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga membuktikan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa hak asas air mesti dikembalikan kepada rakyat sepertimana pemberian air percuma kepada penduduk di Selangor.
Menurutnya , usaha dilakukan oleh Kerajaan Negeri selama itu tidak menjadikan negeri ini muflis dan rakyat terus menikmati manfaat sebagaimana hak mereka sebagai rakyat Selangor.
Katanya, semua pemimpin akar umbi dan wakil rakyat diharap dapat menerangkan kepada rakyat supaya tidak tertipu dengan masalah dibawa oleh Syabas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan