Sabtu, 21 Julai 2012

Sememangnya rakyat menilai dari ‘track record’ kepimpinan Najib

  Aspan Alias



“Bodek PM Days are over” kata Najib kepada perjumpaan beliau dengan sekumpulan pesara kerajaan semalam. Najib meminta pesara kerajaan memberikan sokongan kepada beliau bukan kerana beliau seorang Perdana Menteri. Najib mahu semua pihak memberikan sokongan kepada beliau berdasarkan kepada “track record” yang ada kepada beliau bukan kerana hendak mengampu beliau.

Sesungguhnya memang begitulah sepatutnya kita semua lakukan terhadap Najib. Kita mesti memberikan sokongan atau penentangan kepada seseorang pemimpin itu mengikut “track record” nya dan itu pun sebabnya banyak pihak termasuk diri saya tidak memberikan sokongan kepada Najib dan parti yang beliau pimpin. Semuanya itu berdasarkan kepada “track record” yang kita semua sudah membuat penilaian dengan teliti.

Sejak akhir-akhir ini banyak pihak telah menarik sokongan dari Umno dan BN kerana rekod yang tidak menyenangkan rakyat dibawah pimpinan beliau. Berbagai-bagai isu terdedah terhadap kepimpinan Najib, dari soal rasuah sehingga isu menyalahgunakan kuasa dan kerisauan rakyat tentang masa depan negara jika BN/Umno pimpinan Najib ini terus berkuasa.

Masalah hutang negara yang hanya RM250 billion pada tahun 2007 sekarang sudah meningkat kepada RM456 billion. Dalam masa empat tahun hutang kerajaan meningkat dengan begitu ketara. Jumlah hutang ini merupakan 54 peratus dari GDP negara dan angka ini sangat merbahaya kepda kestabilan negara kita. Angka ini tidak dapat dipastikan samada ia termasuk hutang-hutang yang dibuat oleh semua “off-budget agencies” negara.

Ketirisan dalam pentadbiran negara pimpinan Najib begitu tinggi dan Ketua Audit Negara telah mengesahkan yang ketirisan ini melibatkan jumlah RM28 billion setahun. Jika Najib mahukan orang ramai menilai beliau dari “track record” beliau ini merupakan secebis dari rekod yang merunsingkan rakyat negara ini.

Itu belum lagi kita menyebut dan membuat pertimbangan terhadap beliau dengan isu peribadi seperti kes Altantuya, skandal pembelian kapal selam scorpene, isu pemberian kotrak pembinaan MRT Ampang kepada George Kent dan banyak lagi isu-isu yang dikaitkan dengan beliau dan isterinya.

Jika Najib ingin tahu, sememangnya rakyat sedang membuat penilaian terhadap “track record” beliau dan saranan beliau itu sepatutnya tidak payah dibuat. Jika tidak kerana “track record” beliau ini, masakan terlalu menyeluruh rungutan terhadap kepimpinan beliau yang menjadi sebutan oleh rakyat di mana-mana kita pergi.

Setakat itu sahaja komen dan reaksi saya terhadap kenyataan PM kita ini.— aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: