Selasa, 31 Julai 2012

Sekalipun selingan, logo merdeka terlalu teruk

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kecewa kerana kerajaan khususnya Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan tidak sensitif dalam memilih dan menentukan logo Hari Merdeka sehingga terpaksa menarik balik atau menafikan logo yang dikatakan akan digunakan sebagai logo Hari Merdeka tahun ini setelah mendapat bantahan ramai.

Bagi DPPM, kata ketuanya, Riduan Mohd Nor (gambar), sikap cuai atau sambil lewa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam menentukan logo Hari Merdeka sehingga ia ‘terlepas’ ke media memberi gambaran negatif rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, jika ia hanya paparan selingan (artwork) dan bukan logo rasmi sekalipun seperti yang dikatakan oleh Rais Yatim, ia terlalu teruk dan langsung tidak mempunyai nilai seni yang tinggi.

“Tidak sepatutnya paparan selingan ini muncul di media-media sebagai penghias sambutan Hari Merdeka tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, ujarnya DPPM melihat tema “Janji Ditepati” tetap tidak wajar dijadikan sebagai tema hari kebangsaan tahun ini.

Menurutnya, DPPM berpendapat, “Janji Ditepati” adalah kempen politik yang hanya boleh digunakan oleh BN kepada pengundinya, bukan daripada kerajaan kepada rakyat.



“Tema ini secara jelas berkempen mengenai jasa kerajaan kepada rakyat dan seharusnya rakyat menuai bakti kepada kerajaan BN,” ujarnya.

Tambahnya, ia juga membawa mesej seolah-olah kerajaan mengugut rakyat supaya menyokong parti pemerintah kerana hanya pemerintah menunaikan janji.

DPPM menegaskan, katanya sambutan Hari Merdeka adalah sambutan untuk rakyat semua tanpa mengenal ideologi politik masing-masing.

Justeru, ujarnya lagi kerajaan tidak wajar menyelitkan sebarang unsur politik kepartian hanya semata-mata mahukan sokongan dan undi daripada rakyat.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu bersikap profesional dengan membuang sikap terlalu kepartian dalam merayakan Hari Kebangsaan negara ini.

Riduan mempersoalkan adakah Najib hanya mahu menjadi Perdana Menteri kepada ahli Umno atau BN sahaja dan bukan untuk rakyat seluruhnya?

“Jika benar beliau adalah PM kepada semua rakyat, beliau perlu menukar logo serta tema kepada yang lebih menepati citarasa rakyat yang mahukan sikap patriotsme ditanam dalam diri merekak,” katanya lagi.

Tiada ulasan: