Rabu, 4 Julai 2012

Saman NFC: Rafizi sedia jumpa di mahkamah

Oleh Masdar Wahid


KUALA LUMPUR : “Saya tidak akan minta maaf dan bersedia untuk berdepan saman National Feedlot Corporation (NFC) di mahkamah,” kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.



Beliau mengulas surat tuntutan yang diterimanya hari ini dari NFC yang meminta beliau memohon maaf dalam tempoh tujuh hari, membayar ganti rugi RM300 juta dan menarik semua dakwaan terhadap syarikat itu atau berhadapan saman pada 10 Julai ini.

“Saya tidak akan minta maaf dan bersedia menjawabnya di mahkamah kerana ini peluang terbaik untuk mendedahkan segala-galanya dan jika dakwaan saya tidak benar, mengapa Datuk Seri Shahrizat Jalil meletak jawatan sebagai Menteri?

“Tindakan saman ini jelas satu ugutan penghinaan dan tindakan melepas geram mereka mengenai apa yang KEADILAN dedahkan selama ini,” katanya dihubungi Keadilan Daily.

Surat tuntutan itu dihantar kepada Rafizi dan Mkini Dot Com Sdn Bhd pagi tadi melalui pos berdaftar oleh firma guaman Wan Shahrizal Hari & Co.

Ia menyatakan bahawa laporan-laporan itu memfitnah NFC dan Pengerusinya, Datuk Mohamad Salleh Ismail serta syarikat induk NFC, Agroscience Industries Sdn Bhd selain menjejaskan Real Food Company Sdn Bhd milik keluarga Salleh.

Malaysiakini tutut didesak memohon maaf, menarik balik bahawa penerbitan itu tidak diulangi dan membayar RM200 juta.

Surat tuntutan itu merujuk tulisan blog Rafizi 7 Mac lalu bertajuk “Skandal NFC: Bukti bagaimana dana awam untuk projek fidlot telah digunakan sebagai ‘jaminan’ pinjaman peribadi untuk membeli 8 unit hartanah mewah di KL Eco City, Bangsar”.

Surat itu juga merujuk rakaman video Malaysiakini.tv mengenai sidang media Rafizi pada tarikh sama bertajuk “More properties in Bangsar bought by NFC directors.”

Skandal NFC pertama kali didedah pada Oktober tahun lalu melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang diedar di Parlimen bahawa projek berkaitan lembu itu  di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menghadapi masalah.

NFC yang mendapat pinjaman mudah RM250 juta dari kerajaan juga mengheret pemimpin besar Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Najib ialah pengerusi projek berimpak tinggi dengan NFC terletak di bawahnya, Muhyiddin ialah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Khairy ialah pemimpin berkuasa semasa projek itu dilulus pada 2007 dan Noh ialah Menteri Pertanian sekarang.

Tiada ulasan: