Ahad, 1 Julai 2012

Salahuddin bukan calon MB Johor


MOHD AZLIM ZAINURY

Salahuddin bukan calon MB Johor    
Nik Aziz ketika menyempurnakan penyerahan Salahuddin kepada pimpinan Pas Johor, kelmarin.
 
 
MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang dikatakan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), bukan calon Menteri Besar.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas belum lagi mencalonkan mana-mana pemimpin daripada parti itu untuk jawatan tersebut, sebaliknya lebih menumpukan gerak kerja untuk merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).

“Kita belum calon sesiapa untuk menjadi Menteri Besar. Kita hendak menang dahulu,” katanya menjawab spekulasi Salahuddin sebagai bakal calon Menteri Besar jika Pakatan Rakyat (PR) menguasai negeri itu pada PRU13.
Salahuddin yang lahir di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian pada PRU12 dan mengekalkan kerusi Naib Presiden Pas pada pemilihan parti itu pada Jun tahun lalu.

Selain namanya disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor, beliau sebelum ini juga dikatakan dirisik agar bertanding Parlimen Pasir Mas di Kelantan, Titiwangsa (Wilayah Persekutuan) selain Dun di Johor bagi menghadapi PRU13.

“Saya boleh kata (sokongan) meningkat, kita dah dapat dua kerusi di Johor, kerusi kita dah meningkat, nak tawan pun tidak mustahil tetapi tidak mudah. Umno (pasti) akan pertahankannya habis-habisan tetapi tidak mustahil kita boleh menang,” katanya pada Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Kampung Batu 10, Bukit Payong yang turut dihadiri Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut di sini, semalam.

Dalam pada itu, Salahuddin diserahkan secara rasmi kepada pimpinan Pas Johor pada Himpunan Hijau ke Putrajaya di Dataran Dahlia, Johor Bharu, Johor, malam kelmarin.

Penyerahan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu kepada Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Husam dalam ucapannya menyeru kepada rakyat supaya memberi peluang kepada PR untuk menawan Putrajaya bagi membolehkan pakatan pembangkang membuktikan kebolehan dalam mentadbir kerajaan.

“Rakyat perlu beri peluang kepada PR untuk ke Putrajaya bagi membolehkan kami membuktikan kemampuan kami, Jika tidak OK, tuan puan boleh menyerah balik mandat kepada Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti. Itu pun jika Umno ada lagi.

“Perjuangan kita untuk Islam dan kita mahu bela rakyat. Negara kita kaya, tapi hanya beberapa kerat sahaja yang kaya. Ketidakseimbangan ini ditentang Islam. Sebab itu dalam manifesto PR nanti, kita akan tekankan kepada agenda bela rakyat seperti menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membebankan rakyat,” katanya.

Selain itu, Husam yang juga Naib Presiden Pas berharap rakyat di Johor dapat memberi peluang kepada rakan seperjuangannya, Salahuddin untuk berbakti kepada negeri kelahiran sendiri.

Nik Aziz dalam ucapan ceramahnya pula berkata, Pas satu ketika dahulu ditubuhkan berikutan ulama Umno yang melihat sendiri perjuangan Umno semakin lari dari ajaran Islam.

“Umno ni kata agama lain dan politik lain. Padahal kita selalu diajar bahawa Islam ini adalah menyeluruh meliputi pelbagai cabang. Masa solat Jumaat pun kita disarankan supaya berasa gerun dan takut kepada ALLAH walau siapa pun kita, sekali gus wajib mempraktikkan ajaran al-Quran dan Sunnah.

“Sebab itu, Pas berjuang untuk daulatkan Islam. Pas ini bukan siapa-siapa yang buat. Ia ditubuhkan oleh Umno juga. Oleh ulama Umno sendiri yang lihat
perjuangan Umno semakin lari dari ajaran Islam.

“Kita mahu ikut dan mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam membina negara Islam,” katanya.

Tiada ulasan: