Sabtu, 7 Julai 2012


Saiz Teks: A A A

Najib didesak selesai isu kad pengenalan

Oleh Sidiqin Omar


KLANG : Naib Presiden KEADILAN, N Surendran meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan berhubung masalah pemilikan kad pengenalan oleh masyarakat India berikutan kempen Mydaftar yang diselenggara MIC gagal.



Surendran berkata, karenah birokrasi dan proses Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang lembab punca kira-kira 300,000 rakyat Malaysia keturunan India dinafikan hak sebagai warganegara.

“Ini polisi yang sengaja menafikan hak warganegara berturunan India. Mereka kini seperti tanpa negara (stateless). Kita minta supaya Najib selesaikan, kerana nampaknya JPN ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menemani lebih 40 warga keturunan India bertemu Pengarah JPN Selangor, Mohd Azmin Hassan di pejabat agensi itu di sini, hari ini.



Turut hadir Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.
Kebanyakan mereka hadir bagi diri sendiri atau mewakili keluarga untuk membuat pertukaran dari kad pengenalan merah ke kad pengenalan biru.

“Mereka sudah mengikuti garis panduan. Tetapi ada permohonan yang tak diproses sehingga hari ini. Ini penganiayaan,” kata Surendran.

Menurutnya, JPN telah menggunakan prosedur salah dengan menakrifkan permohonan dengan Artikel 19 Perlembagaan Persekutuan, iaitu permohonan menjadi warganegara.



“Sedangkan, mereka sememangnya warganegara. Mereka lahir dan tinggal lama di Malaysia. Adakah semata-mata tidak cukup dokumentasi maka dinafikan hak sebagai warganegara? soal Surendran lagi.

Kata beliau, masalah pertukaran kad pengenalan merah kepada biru antaranya berpunca dari kehilangan dokumen di hospital atau kematian saksi seperti bidan kampung.

“Ada kes yang dibuktikan saksi, menunjukkan salah seorang dari ibu bapa pemohon adalah warganegara atau ahli keluarga yang lain. Sepatutnya pemohon ini dibenarkan memiliki kad pengenalan biru.

“Tapi mengapa mereka diberikan kad pengenalan merah? Tambah rumit, apabila penentuan ini mutlak di tangan Menteri Dalam Negeri,” kata Surendran.

Tiada ulasan: