Rabu, 4 Julai 2012

Rumah kenamaan UMNO diceroboh, Malaysia selamat?

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP mempersoalkan jaminan keselamatan oleh kerajaan Barisan Nasional kerana rumah orang kenamaan UMNO sendiri telah dipecah masuk serta dirompak.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, laporan berita telah menyiarkan isu pencerobohan kediaman bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik di Kuala Lumpur yang menyebabkan kehilangan wang tunai dan sepucuk pistol.

“Sekiranya orang kenamaan pun tidak selamat, bagaimanakah rakyat boleh selamat?” soal beliau.

Menurutnya, DAP mahu kerajaan persekutuan memberi peruntukan bagi menjamin keselamatan awam dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan menyokong usaha-usaha peronda komuniti serta meletakkan lebih ramai anggota polis di kawasan-kawasan bermasalah.

Tambah beliau, DAP juga mengkritik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kerana dilihat tidak endah terhadap laporan-laporan jenayah yang berlaku dalam media, malah menganggap kejadian yang berlaku sengaja di sensasikan.

Menurutnya, sikap Hishammuddin itu jelas tidak bertanggungjawab dan menunjukkan bahawa beliau tidak sensitif bukan sahaja kepada penderitaan mangsa tetapi juga kepada kebimbangan awam.

“Sikap Hishamuddin yang bergantung semata-mata kepada perangkaan boleh dianggap sebagai sikap yang malas dan salah. Beliau harus memahami bahawa fakta dan angka tidak menunjukkan sisi sebenar mengenai kerugian maupun kecederaan yang terpaksa dialami mangsa,” tegas beliau.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kejadian rompakan rumah Rahim Tamby Chik tambah melahirkan kebimbangan mengenai situasi keselamatan awam yang semakin merosot.

Beliau turut berkata Hishamuddin harus menarik balik kenyataannya dan memberi perhatian terhadap situasi jenayah yang makin teruk sebelum ia menjadi krisis yang lebih besar.

Beliau juga memperingatkan bahawa pihak polis seharusnya memberi tumpuan kepada tanggungjawab mereka untuk menangani jenayah dan bukannya menurut arahan-arahan politik.

“Jangan lupa tentang kes ahli jawatankuasa pemandu Bersih, Dr Wong Chin Huat yang diserang dan dicederakan semasa berjoging, sementara seorang guru, Teoh Soo Kim berumur 51 tahun pula telah cedera parah selepas diculik.

“Kita juga masih ingat kepada kejadian yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak 12 tahun di Ipoh dan seorang yang berumur 20-an di Mutiara Damansara Petaling Jaya pula hampir diculik pada bulan lepas, selain penculikan berprofil tinggi seorang kanak-kanak 12 tahun berbangsa Belanda, Nayati Moodliar, yang telah mendapat liputan media antarabangsa,” katanya. –  Roketkini.com

Tiada ulasan: