Sabtu, 7 Julai 2012

RM 1.33 Juta Untuk Bina Pusat Wanita Berdaya Di Seluruh Selangor





GOMBAK : Dalam masa tiga bulan, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor akan mendapat Pusat Wanita Berdaya (PWB) tersendiri bagi meningkatkan taraf socio-ekonomi wanita di seluruh Selangor.

Rancangan ini akan dijayakan dengan peruntukan RM 1.33 juta dari Geran SelangorKu bagi membina 35 PWB baru. Setakat ini Kerajaan Negeri sudah membina 21 PWB di sekitar Selangor.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Rodziah Ismail berkata misi Pemberdayaan Wanita Selangor akan menyaksikan PWB menjadi hub aktiviti wanita yang akan menghubung jalin wanita setempat dan di seluruh Selangor.

“Ia akan menjana kreativiti dan inovasi ke arah meningkat kualiti hidup wanita, keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka,” kata Rodziah di satu majlis penyampaian cek Geran Selangorku untuk PWB berjumlah RM 1.33 juta.

Cek tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak, Greenwood di sini semalam.

Setiap PWB memberi peluang wanita menceburi bidang-bidang kemahiran seperti menjahit, memasak dan membuat kraftangan bagi menjana pendapatan tambahan bagi keluarga mereka.

Tiada ulasan: