Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hari ini mengumumkan pembayaran dividen berjumlah RM314.6 juta kepada 39,306 peserta Rancangan Tanaman Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) bagi tahun 2011.
  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembayaran dividen itu membuktikan usaha transformasi yang dilaksanakan kerajaan sejak tiga tahun lepas telah membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam pelbagai sektor.

"Apa yang dijanjikan bukan slogan tapi kalau kita lihat selepas satu kelompok, satu kelompok lagi mendapat imbuhan dari agenda transformasi negara.

"Begitu banyak kita (kerajaan) lakukan, baru tiga tahun, cuba bayangkan kita dapat lima tahun lagi," katanya ketika merasmikan Program Kasihi Pekebun Peringkat Nasional dan penyampaian dividen berkenaan di Pekan hari ini.
  
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek dan Pengerusi RISDA Tan Sri Rahim Tamby Chik.
  
Perdana menteri berkata kerajaan akan terus tekad, menerusi pelbagai program transformasi, untuk memakmurkan semua golongan di negara ini.
  
"Bagi pekebun kecil, mereka merupakan nadi pembangunan ekonomi negara manakala tanaman getah dan sawit merupakan tanaman strategik negara.
  
"Oleh itu kerajaan memandang serius isu-isu pembangunan masyarakat pekebun kecil seperti isu harga getah dan sawit serta pendapatan pekebun kecil," katanya.
  
Beliau berkata industri getah negara meliputi kawasan seluas 1.6 juta hektar melibatkan 279,127 pekebun kecil manakala sawit seluas 429,709 hektar melibatkan 147,254 pekebun kecil.
  
Perdana menteri berkata janji-janji yang dibuat kerajaan untuk masyarakat pekebun kecil juga telah ditepati.
  
Antaranya menaikkan kadar bantuan untuk tanaman semula daripada RM7,000 sehektar kepada RM9,300 sehektar di Semenanjung, RM13,500 sehektar di Sarawak dan RM14,000 sehektar di Sabah.

"Saya juga telah meminta RISDA melancarkan Gerakan Membaja di seluruh negara supaya setiap pekebun kecil akan membaja dan setiap pokok getah dan sawit dibaja mengikut jadual .
  
"Saya gembira hasil daripada gerakan itu, pengeluaran getah dan sawit telah meningkat," katanya.
  
Di majlis itu, Najib turut mengumumkan kenaikan elaun kepada 513 pemaju masyarakat Risda yang merangsang perubahan di kalangan pekebun kecil.
  
"Saya umumkan mereka mendapatkan kenaikan elaun dari RM300 kepada RM500 sebulan, berkuatkuasa 1 Januari 2012," katanya. Bernama