Jumaat, 6 Julai 2012

Ras Adiba nafi bertanggungjawab struktur semula Inki Plas Holdings

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Personaliti televisyen Ras Adiba Mohd Radzi, yang disaman oleh seorang pengarah syarikat, hari ini menafikan bertanggungjawab merancang penstrukturan dan mengukuhkan syarikat Inki Plas Holding Sdn Bhd.

Ras Adiba, yang memfailkan pernyataan pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini, turut menyatakan bahawa tidak bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami syarikat berkenaan.

Personaliti itu juga mendakwa pengarah syarikat itu, Nik Fauzi Nik Hussein, telah membuat representasi palsu mengenai mesin yang akan digunakan untuk kitar semula sisa 'low density polyethelene' sedangkan ia tiada dalam milikan syarikat.

Berikutan itu, beliau memohon pembatalan perjanjian penjualan saham bertarikh 24 Julai 2006 dan ganti rugi serta relif lain.

Kes itu, yang didengar di hadapan Hakim Nallini Pathmanathan di dalam kamar, ditetapkan untuk perbicaraan pada 8 hingga 10 Oktober depan.

Nik Fauzi memfailkan saman berjumlah RM3.2 juta pada 3 Mei lalu dengan mendakwa Ras Adiba melanggar kontrak perjanjian penjualan saham.

Menerusi pernyataan tuntutan, Nik Fauzi mendakwa beliau mempunyai pegangan saham di dalam syarikat Inki Plas Holding Sdn Bhd sebanyak 65 peratus dan bersetuju menjual kesemua saham tersebut kepada Ras Adiba.

Nik Fauzi berkata pada 24 Julai 2006, beliau dan Ras Adiba telah memeterai perjanjian penjualan saham dan ia disetemkan pada 2 Ogos 2006.

Beliau mendakwa Ras Adiba mempunyai kuasa dan kawalan terhadap penstrukturan syarikat dan ia menjadi tujuan Ras Adiba membeli saham berkenaan.

Nik Fauzi berkata Ras Adiba bagaimanapun telah mengabaikan dan gagal membantu mengukuhkan syarikat hingga menyebabkan ia berdepan dengan masalah kewangan.

Beliau mendakwa Ras Adiba sepatutnya membayar liabiliti syarikat berjumlah RM3.2 juta tetapi gagal berbuat demikian dan memungkiri perjanjian.

Selain ganti rugi berjumlah RM3,288,172 beliau turut menuntut deklarasi bahawa defendan telah memungkiri Perjanjian Penjualan Saham bertarikh 24 Julai 2006, faedah pada kadar empat peratus setahun, kos dan relif lain.- BERNAMA

Tiada ulasan: