Isnin, 23 Julai 2012

Rakyat guna RON95, kenapa turun harga RON97?

Oleh Norutul Ilham


KUALA LUMPUR : Tindakan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) yang terlalu berkira untuk membantu rakyat bagi mengurangkan perbelanjaan petrol ditempelak Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN, Abdul Rahman Yusof.

Menurut beliau, sikap hipokrit kerajaan itu membuktikan mereka tidak ikhlas membantu rakyat, sebaliknya hanya menjaga periuk nasi kroni.

“Kenapa mahu jadikan alasan untuk turunkan minyak RON95, sedangkan rata-rata rakyat menggunakannya berbanding RON97.

“Kalau peruntukkan subsidi kepada kroni tidak pula berkira sebaliknya berbilion ringgit disalurkan kepada mereka,” katanya dihubungi.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dilapor berkata, walaupun melakukan pengapungan petrol RON97 bagi mengekalkan subsidi RON95 tetap tidak membantu kerana mendakwa sebilangan golongan berpendapatan tinggi turut menggunakannya.

Akibatnya, kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan besar kira-kira RM30 bilion setahun manakala RM20 bilion daripada itu bagi tujuan subsidi minyak dan gas, kata beliau.

“Kalau beliau (Awang Adek) sudah tahu rakyat banyak menggunakan RON95, kenapa diturunkan RON97, lepas itu dicanangkan kata harga minyak dunia naik dan pelbagai alasan.

“Kenapa hanya mahu beritahu subsidi yang diberikan kepada rakyat, tapi tidak pula beritahu berapa kos subsidi yang diberikan kepada IPP (Penjana Tenaga Bebas) dan kroni,” tegas beliau.

Tiada ulasan: