Selasa, 31 Julai 2012

Proses Pengambilalihan Hutang Talam Sedang Diaudit: MB Selangor

MSTAR ONLINE
 
 
BESTARI JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Selasa berkata satu firma akauntan bertaraf antarabangsa kini sedang menjalankan kerja-kerja mengaudit proses pengambilalihan hutang Talam Corp oleh kerajaan negeri.

Katanya kerajaan Negeri membelanjakan RM500,000 bagi syarikat itu melakukan kajian supaya satu laporan profesional dan menyeluruh yang dapat difahami oleh semua pihak akan dapat dikeluarkan.

Abdul Khalid berkata demikian selepas menyampaikan bantuan makanan kepada 486 warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya di sini.

Beliau diminta mengulas permintaan Barisan Nasional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai sebab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor diminta membeli hutang Talam.

Ditanya nama firma berkenaan, beliau berkata: "Syarikat itu meminta saya tidak memberikan namanya sebelum laporan itu dikeluarkan kerana takut banyak pihak yang akan tanya banyak soalan sehingga susah nak buat kerja."

Bagaimana pun, beliau berkata firma itu dijangka mengeluarkan laporannya pada penghujung bulan hadapan.

Mengenai masalah bekalan air yang melanda para penduduk Bukit Belimbing, Kuala Selangor, Abdul Khalid berkata masalah kekurangan bekalan air di sana bukannya kerana air terawat tidak mencukupi tetapi tekanan air yang rendah.

Oleh itu, beliau telah mengarahkan Majlis Daerah Kuala Selangor untuk mengkaji bagaimana tekanan air paip di sana dapat ditingkatkan dan menghantar air supaya keperluan orang ramai mencukupi. - BERNAMA

Tiada ulasan: