Ahad, 29 Julai 2012

PM Akan Bersama Rakyat Kelantan Pada Bulan Ramadan

MSTAR ONLINE
 
KOTA BAHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melakukan lawatan sehari ke Kelantan untuk bersama rakyat negeri ini pada Ramadan ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata Perdana Menteri dijadual bertemu rakyat di Bachok dan Ketereh di sini.

Tarikh dan aturcara lawatan Najib bagaimanapun belum dimuktamadkan, katanya.

"Kita yakin lawatan ini dinanti-nantikan rakyat Kelantan, kita tahu Perdana Menteri banyak turun ke bawah pada bulan Ramadan ini dan Kelantan tidak dipinggirkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan anggota pemikir Umno Kelantan di sini, Ahad.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata lawatan Najib, yang juga Presiden Umno itu, juga akan memberi semangat dan motivasi kepada pemimpin dan anggota Umno Kelantan untuk bekerja lebih kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Umno Kelantan sudah mengadakan program bagi mendekati pengundi negeri ini yang berada di luar termasuk Lembah Klang, memandangkan mereka mempunyai peranan besar dalam pilihan raya.

"Kita mengadakan pelbagai program dalam bulan Ramadan ini, antaranya majlis berbuka puasa dengan pengundi luar di Lembah Klang, kita menyakinkan kepada mereka bahawa Umno Kelantan mempunyai komitmen yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat Kelantan dan mengubah keadaan Kelantan," katanya.

Mustapa berkata perubahan tersebut termasuk kemudahan infrastruktur yang lebih baik, pendapatan rakyat semakin bertambah, masalah kemiskinan dapat dikurangkan dan pekerjaan untuk rakyat diperbanyakkan. - BERNAMA

Tiada ulasan: